Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno dicadang tukar slogan
Diterbitkan:  Jun 20, 2010 5:13 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Slogan Umno 'Hidup Melayu' dicadang diubah kepada 'Melayu Cemerlang' agar relevan dengan suasana dan perkembangan negara masakini.

    

Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh berkata dalam era inovasi dan kreativiti, slogan Melayu Cemerlang diyakini lebih sesuai untuk menggerakkan orang Melayu supaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang kini lebih ke hadapan.

    

"Slogan Hidup Melayu lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan bangsa Melayu di era sebelum dan selepas kemerdekaan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Dalam Organisasi di Bangunan Umno Bahagian Besut di Jerteh, hari ini, lapor Bernama.

    

Slogan baru itu dicadangkan oleh Umno Bahagian Besut.  

    

Bagaimanapun menurutnya, suasana kini telah banyak berubah dan usaha  berterusan memperkasa dan memartabatkan orang Melayu perlu dibuat menerusi pendekatan yang lebih realistik.  

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mencadangkan supaya Jalan Ampang ditukar nama kepada Jalan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghargai jasa mantan perdana menteri ini yang menerajui pentadbiran negara selama 22 tahun.

   

"Kita ada Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Razak, Bandar Tun Hussein Onn, Bandar Tun Razak. Kita ada Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Tun Hussein Onn.

   

“Tidak terfikirkah tentang Tun (Dr Mahathir), 22 tahun (menjadi perdana menteri)," katanya semasa berucap di persidangan perwakilan Umno bahagian Cheras hari ini.

 Mesyuarat bahagian tersebut dirasmikan oleh isteri bekas perdana menteri itu, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang mewakili Dr Mahathir.

"Tun (Dr Mahathir Mohamad) mahu atau tidak, setuju atau tak setuju, kita sebagai rakyat serta pemimpin negara harus mengenang jasa beliau," tambah Syed Ali.

Syed Ali berkata beliau pernah mengutarakan cadangan itu di Dewan Negara sebaik selepas Dr Mahathir bersara dahulu.

   

Selain itu beliau juga mencadangankan agar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditukar nama kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Mahathir-Hasmah.

Pada sidang akhbar kemudiannya Siti Hasmah menghargai cadangan Syed Ali itu.

"Tetapi jika dibentang kepada Tun Dr Mahathir, dia mesti geleng kepala. Tapi terpulanglah, bagi kami berdua, tak payahlah. (Tetapi) kalau (itu cara) orang nak mengingati kami seperti yang Syed Ali cakap tadi, terpulanglah saya tak dapatlah nak komen," katanya.

Beliau juga berkata Dr Mahathir demam dan meminta beliau menggantikan tempatnya.

   

Dr Siti Hasmah berkata ini merupakan kali pertama beliau merasmikan mesyuarat Umno di mana ia merupakan  pengalaman baru baginya.

   

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengakui sering mengikuti suaminya menghadiri pelbagai acara sehingga dikatakan seperti belangkas.

   

"Bukan sebab apa-apa. Bukan sebab cemburu dan mahu memerhatikan kelakuan dan aktivitinya, tetapi sebagai isteri memang hati itu akan bimbang berkenaan kesihatan beliau," kata Dr Siti Hasmah.

ADS