Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman menolak saranan balas Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan untuk berdialog berhubung dakwaan kemerosotan rezab tunai Felda.

Felda Ahmad yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuat saranan itu dalam suratnya yang diserahkan sendiri kepada Mazlan di lobi Parlimen pada jam 11.40 pagi ini.

Sebelum ini, Mazlan menyerahkan surat rasmi kepada Ahmad yang mencabarnya untuk berdebat mengenai dakwaan tersebut.

Mazlan yang masih berkeras untuk berdebat berkata, beliau menolak saranan untuk berdialog itu kerana selama ini hasilnya adalah mengecewakan.

"Selama 15 tahun - sebelum beliau (Ahmad) jadi timbalan menteri, kita telah banyak kali berdialog.

"Banyak memorandum kita telah hantar, dan laporan polis pun telah dibuat (mengenai dakwaan itu), jadi tak timbul soal saya tidak mahu berdialog," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

NONE Pada 16 Jun lalu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno dilapor berkata di Parlimen bahawa status kewangan Felda merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Susulan daripada pendedahan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima pelbagai kritikan, termasuk daripada penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim yang mendesaknya agar "melepaskan cengkamannya" terhadap agensi itu.

Felda pula kemudiannya dilaporkan mahu menyaman Zaid, akhbar organ PKR Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan laporan "fitnah yang berniat jahat" dan "keterlaluan".

suara keadilan report on felda bankrupt 220610 Mazlan sebelum ini dilaporkan berkata cabaran untuk berdebat diputuskan selepas Ahmad berhasrat untuk menyaman akhbar Suara Keadilan - yang melaporkan 'Felda Bankrap'.

Mazlan dilaporkan berkata tindakan undang-undang tersebut dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu".

"Kita akan dedahkan fakta sebenar yang berlaku di Felda (dalam debat itu)," Mazlan dilaporkan berkata.

Mazlan juga dilaporkan berkata, beliau bersedia bersemuka dengan Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian pada bila-bila masa.

ANAK sebelum ini turut dilaporkan membuat aduan polis berhubung kemerosotan rizab tunai Felda itu.

ADS