Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM1 bilion untuk pertanian Sabah
Diterbitkan:  Jul 26, 2010 3:40 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Jabatan Pertanian Sabah akan menerima peruntukan sebanyak RM921.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk melaksanakan sembilan program pembangunan meliputi 27 projek.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata sebanyak RM530.1 juta adalah peruntukan yang dipohon melalui kerajaan negeri dan selebihnya peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dalam RMK10, Jabatan Pertanian Sabah akan terus memainkan peranan dalam usaha memodenkan lagi sektor pertanian, serta mempertingkatkan pengeluaran hasil tanaman khususnya tanaman makanan," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan 2010 Jabatan itu di Sepanggar, hari ini.

Melalui peruntukan itu, Yahya berharap keempat-empat projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang telah dikenalpasti, akan dapat dimulakan dalam RMK10.

Dua projek terletak di Kinabatangan iaitu TKPM Sungai Koyah dan TKPM Sungai Lokan, manakala dua lagi di Papar iaitu TKPM Padawan Mandalipau dan TKPM Langkawit. TKPM yang pertama di laksanakan di negeri ini tahun lepas ialah TKPM Tawau.

TKPM merupakan satu daripada Program Berimpak Tinggi yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan matlamat untuk mewujudkan kawasan pengeluaran makanan kekal dan melahirkan usahawan tani di samping menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran makanan.

Konsep pelaksanaan TKPM ini memerlukan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri dengan kerajaan negeri mewartakan tanah yang dikenalpasti sesuai untuk dibangunkan, manakala kerajaan Persekutuan pula berperanan menyediakan kemudahan infrastruktur asas bagi projek yang akan dibangunkan.

Antara jenis tanaman yang diusahakan adalah sengkuang, cili, jagung, pitaya, tembikai, tomato, nangka, betik, pisang dan lada hitam.

--Bernama

ADS