Jenazah Wan Badariah dikebumikan, empat kerusi DUN Perlis kosong
Jenazah Adun Mata Ayer daripada PAS, Wan Badariah Wan Saad, 50, selamat dikebumikan di Arau, Perlis, hari ini selepas meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, petang semalam.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambai, Pauh, kira-kira 11.50 pagi.
Terdahulu, media tempatan melaporkan kira-kira 500 orang menghadiri solat jenazah di Masjid Nurul Al-Saadah, Kampung Banggol Sena.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir hari ini termasuk Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali dan Adun Santan Muhammad Azmir Azizan.
Hasrat bercuti tidak kesampaian
Suaminya, Sabry Saad, berkata Wan Badariah teruja merancang percutian bersama keluarga selepas sidang DUN akan datang.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila keadaan kesihatannya merosot secara mendadak pagi semalam.
Menurut Sabry, isterinya yang menghidap penyakit tiroid kelihatan sihat dan masih sempat bergurau dengan ahli keluarga pada Jumaat lalu.
Katanya, keadaan Wan Badariah mula merosot kira-kira 9 pagi semalam selepas mengadu keletihan sejak beberapa hari sebelumnya.
“Menjelang 10.30 pagi, dia sudah tidak boleh bercakap dan kami membawanya ke jabatan kecemasan kira-kira 11 pagi dengan bantuan saudara-mara serta ambulans,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Doktor kemudian melakukan prosedur intubasi dan menidurkan Wan Badariah, namun paras oksigen serta tekanan darahnya terus menurun.
Pasukan perubatan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) beberapa kali sebelum dia disahkan meninggal dunia pada 4.26 petang.
Wan Badariah meninggalkan suami dan tiga anak berusia antara 15 hingga 19 tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/b29bd5f38257398e475cd84380e1c574.jpg)
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah pula menyifatkan pemergian Wan Badariah sebagai kehilangan besar buat negeri itu.
Katanya, dia kali terakhir bertemu Wan Badariah dalam satu program kira-kira dua minggu lalu.
“Kita berdoa agar keluarganya bertenang dan bersabar menghadapi ujian ini, dan berharap seluruh rakyat Perlis mendoakan rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya semalam seperti dilaporkan Harian Metro.
Wan Badariah, seorang peguam, memenangi kerusi Mata Ayer pada pilihan raya umum 2022 dan pernah memegang jawatan exco pelancongan Perlis di bawah pentadbiran Mohd Shukri Ramli.
Dia juga calon wanita pertama yang diketengahkan PAS Perlis untuk bertanding kerusi DUN.
Pemergiannya menjadikan empat dari 15 kerusi DUN Perlis kosong, sekali gus mengurangkan jumlah kerusi PAS kepada lima, menyamai Bersatu.
Satu-satunya kerusi pembangkang dipegang wakil PKR, Gan Ay Ling.
PN masih menguasai keseluruhan 10 kerusi, melebihi lapan kerusi yang membentuk majoriti mudah daripada keseluruhan 15 kerusi DUN.
Namun, kekosongan terbaru itu menyebabkan PAS kehilangan kelebihan dari segi jumlah kerusi berbanding Bersatu dalam gabungan berkenaan, ketika hubungan kedua-dua parti tidak menentu.
Tiga lagi kerusi yang kosong — Chuping, Bintong dan Guar Sanji — diisytiharkan kosong selepas keahlian wakil rakyatnya dalam PAS terhenti ketika krisis politik yang menyaksikan pentadbiran Mohd Shukri berakhir pada Disember tahun lalu.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu — Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) — antara lapan wakil PN yang menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Mohd Shukri kemudian meletakkan jawatan pada 25 Disember atas alasan kesihatan dan digantikan Abu Bakar pada 28 Disember.
Menurut Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, kekosongan luar jangka yang dipastikan dalam tempoh dua tahun sebelum DUN terbubar secara automatik tidak boleh diisi, kecuali Speaker memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kesannya terhadap kekuatan bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli DUN.
Jika pemakluman itu dibuat, kekosongan berkenaan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemberitahuan tersebut.
Lapor komen ini
/file/attachments/889/95915c00340be82c935eb3925f071983_118312.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.