'Student Power': UM tolak penganjuran individu

       

Bahagian Hal Ehwal Universiti Malaya (HEP UM) hari ini menolak permohonan seorang pelajarnya untuk menganjurkan syarahan umum forum 'Student Power' Selasa ini kerana pihak universiti tidak membenarkan sebarang program yang dianjurkan oleh individu.

NONE Keputusan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Naib Canselor HEP kampus tersebut Prof Dr Rohana Yusof dalam pertemuan dengan pelajar berkenaan, Abu Ubaidah Amir Ab Maalek di pejabatnya petang ini.

Dalam tersebut Abu Ubaidah - seorang aktivis mahasiwa - ditemani tiga pelajar lain.

"Mengikut prosedur, tidak boleh buat atas kapasiti individu tapi kena melalui persatuan. HEP mempersoalkan (menjalankan program) atas kapasiti individu," kata Abu Ubaidah dalam satu sidang akhbar selepas pertemuan tersebut petang ini.

"Saya rasa ia tidak relevan kerana program ini tidak melibatkan ramai orang. Universiti hanya sediakan kelengakapan (tempat) sahaja ," kata Abu Ubaidah, pelajar tahun satu fakulti sains.

Syarahan 'Student Power' itu mengetengahkan seorang aktivis sosial, Fahmi Reza telah telah mendapat perhatian umum di kalangan anak muda dan mahasiswa di Malaysia.

Minggu lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mengharamkan ceramah pembikin filem muda berhubung kegiatan pergerakan mahasiswa sekitar tahun 1960-an.

NONE Menurut Abu Ubaidah lagi,  pihak universiti juga mengambil kira latar belakang pensyarah berkenaan dalam menolak permohonan mereka.

Katanya, Prof Dr Rohana memberitahu mereka bahawa kelayakan tersebut harus ditentukan oleh dekan sesebuah fakulti.

Berikutan itu, kata Abu Ubaidah, beliau akan berbincang dengan Persatuan Mahasiswa Islam atau Persatuan Sejarah bagi mengemukakan permohonan baru kepada dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Prof Dr Mohamad Redzuan Othman.

Tambahnya, beliau juga menimbang untuk mengemukakan beberapa lagi nama pensyarah untuk menyertai program tersebut.

NONE "Kita cuba usaha untuk buat di Universiti Malaya. Kita akan bawa Fahmi Reza. Usaha tidak akan terhenti di sini. Kita akan teruskan," katanya lagi.

Abu Ubaidah (kanan) turut diiringi sekumpulan 10 pelajar bagi memberi sokongan ketika beliau menyerahkan kertas kerja program tersebut sebagai syarat mendapatkan kebenaran pihak universiti untuk mengadakannya.

Beliau membuat permohonan tersebut ekoran tindakan pihak pentadbiran UM menarik balik kebenaran kepada Persatuan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial untuk menganjurkan syarahan 'Student Power', Selasa.

Sebelumnya, persatuan tersebut mendapat kebenaran dekan fakulti berkenaan untuk mengadakan syarahan tersebut.

Bagaimanapun, dekan berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada pihak persatuan tersebut bahawa pentadbiran universiti tidak membenarkannya.

VIDEO | 2 min

Malaysiakini
terkini untuk anda