Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda BN JB kutuk baling najis ke kedutaan M'sia
Diterbitkan:  Aug 26, 2010 6:08 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Pergerakan Pemuda BN Johor Bahru hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kebiadaban penunjuk perasaan yang membaling najis ke perkarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang dalam satu demonstrasi di luar kedutaan berkenaan, Isnin lepas.

    

Pengerusinya Khalid Mohamed berkata sikap tidak matang segelintir rakyat Indonesia sehingga sanggup menghina dan mengguris hati rakyat Malaysia yang akan menyambut hari kemerdekaan tidak lama lagi, tidak boleh diterima dan menguji kesabaran.

    

"Kita telah mengadakan perjumpaan dengan pihak konsulat hari ini dan menyatakan pendirian Pemuda BN Johor Baharu mengenai tindakan tidak bermoral ini," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyerahkan memorandum mengutuk kebiadaban penunjuk perasaan itu kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia, di Johor Bahru hari ini.

    

Menurut Khalid, Pemuda BN Johor Bahru menerusi memorandum itu menggesa kerajaan Indonesia supaya mengawal media massa republik berkenaan bagi mengelakkan sebarang penyampaian berita bersifat provokatif.

    

Katanya, Pemuda BN Johor Bahru juga mahu pihak berkuasa Indonesia mengambil pendekatan yang lebih diplomatik dalam menangani permasalahan di sempadan sehingga rundingan dua hala yang bakal berlangsung di Kota  Kinabalu, Sabah pada 6 September depan berjaya menyelesaikan isu-isu berkaitan.

    

"Kita juga membantah ugutan operasi "Sweeping Rakyat Malaysia" dan menuntut kerajaan Indonesia menjamin keselamatan warga Malaysia yang berada di sana," tegasnya.

    

Dalam kejadian berkenaan, penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) dipercayai bertindak sedemikian bagi menandakan kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu apabila polis Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia.

- Bernama

ADS