Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Galas: BN letak calon tempatan
Diterbitkan:  Sep 28, 2010 4:25 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Umno akan meletakkan pemimpin tempatan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas, Kelantan yang bakal diadakan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin pc 280910 01 Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno sedia mengambil langkah-langkah wajar bagi menghadapi pilihan raya kecil itu setelah tarikh pemilihan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Galas kini kosong berikutan penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, dari PAS meninggal dunia semalam akibat kanser kolon.

"Malahan setelah kita dimaklumkan hal ini semalam, kita sudah mengambil perhatian. Dan seperti biasa, jika ada pilihan raya kecil, kita akan (letak) calon dan calon yang kita letak akan datang dari Gua Musang yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh (Tengku Hamzah).

azlan "Kita akan letak calon terbaik yang akan diputuskan oleh pihak pimpinan parti dan kita percaya Tengku Razaleigh akan membantu sebagai ketua bahagian dan Datuk Seri Mustapa (Mohamed) selaku Ketua Perhubungan (Umno Kelantan) juga akan terlibat untuk memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya," katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama di International Herald Tribune Forum di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata peluang BN untuk merampas kembali kerusi tersebut adalah 50-50.

"Bagaimanapun, kita tidak akan ambil ringan terhadap perkara ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS tidak menolak bahawa parti itu akan menghadapi cabaran besar dalam pilihan raya nanti berikutan DUN Galas terletak dalam kawasan Parlimen yang sama dengan Nenggiridan Paloh yang dimenangi BN.

"Kita tidak akan memandang rendah dan meremehkan kekuatan pihak lawan dan apa yang penting parti mesti dalam kedudukan yang cukup kuat untuk bertarung dan mempertahan kerusi DUN Galas ini," katanya.

NONE "Kita akan mengadakan mesyuarat pada 3 Oktober ini dan antara agenda penting yang akan dibincangkan adalah mengenai persiapan dan persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya itu," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Tarikh pilihan raya kecil itu akan diumumkan SPR sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

--Bernama

ADS