Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Jangan nilai Interlok dari sudut perkauman saja
Diterbitkan:  Jan 25, 2011 8:00 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

PAS turut menggunakan pentas kempen pilihan raya kecil DUN Tenang untuk menjelaskan pendirian parti itu berhubung kontroversi mengenai novel 'Interlok' yang dibimbanginya berpotensi menjejaskan integrasi nasional yang dipupuk selama ini.

Berikutan itu, PAS berpendapat novel Interlok yang dikarang sejak 30 tahun lalu oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein tidak seharusnya dinilai semata-mata dari sudut perkauman.

pas seminar 071109 hadi awang Sebaliknya, presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) berkata, ia seharusnya dinilai dan diadili dari kacamata produk seni sastera yang bertujuan menggambarkan kontek sosial sejarah mengenai tiga etnik terbesar di negara ini.

"Kekeliruan fakta atau maklumat dalam buku ini, sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu, perlu dibahas secara ilmiah dan dengan keterbukaan intelektual yang tinggi tanpa menjejaskan niat asal buku ini ditulis oleh pengarannya," kata Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan presiden PAS itu dibacakan oleh pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Mujahid Yusof Rawa di Tenang hari ini.

Pada masa yang sama, tegas Hadi, PAS tidak pernah memperakui apa juga tindakan, mahupun penulisan yang bertujuan untuk menghina mana-mana kaum di negara ini.

Katanya, ini kerana sebagai parti yang membawa wadah Islam sebagai asas perjuangannya, PAS meyakini bahawa perbuatan memandang rendah dan menghina sesuatu kaum itu adalah perbuatan yang dikutuk dan dilarang oleh agama Islam.

NONE PAS, tambahnya, bimbang sekiranya novel Interlok berpotensi membawa kesan yang lebih buruk dari sudut hubungan kaum di negara ini apabila istilah tertentu dijadikan bahan ketawa untuk memperlekehkan sesuatu kaum atau menghinanya.

"Ungkapan dan kata-kata yang berpotensi menimbulkan prejudis dan kebencian, pastinya akan menjejaskan integrasi yang dipupuk selama ini.

"Apa sahaja usaha supaya buku Interlok tidak dieksploitasikan untuk tujuan ini, perlu mencapai kata sepakat semua pihak," tegas Hadi lagi.

Bagi memelihara hubungan kaum di negara ini, katanya, PAS menyeru supaya isu tersebut digarap dengan penuh teliti dan penuh sensitiviti oleh Kementerian Pelajaran.

"Dan menekankan bahawa semua pihak yang terlibat perlu menggunakan saluran berbincang dan berdialog untuk mencari jalan penyelesaian yang berkesan," tambahnya.

Sementara satu keputusan terbaik dicapai, kata Hadi, PAS menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menghina atau merendah-rendahkan martabat sesuatu kaum.

ADS