Nahas helikopter FDS: Kelemahan fasiliti, api marak punca 5 maut
Kebakaran yang berpunca daripada kelemahan fasiliti keselamatan di STOLport Long Lellang menjadi punca utama kematian lima individu dalam tragedi helikopter terhempas di Miri, Sarawak, di mana kesemua mangsa maut akibat melecur teruk dan bukannya disebabkan impak hentaman.
Dapatan berhubung punca kematian dan kepincangan operasi menyelamat itu didedahkan menerusi laporan awal yang diterbitkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini.
Siasatan patologi dan perubatan mengesahkan bahawa juruterbang serta empat penumpang helikopter Bolkow BO105 S kendalian Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu tidak terkorban berpunca daripada daya impak rempuhan di landasan.
"Sebaliknya akibat diselimuti api dan mengalami lecuran tahap kritikal sebelum sempat diselamatkan," kata laporan itu.
Laporan rasmi itu turut membongkar kepincangan ketara pada kesiapsiagaan keselamatan di lapangan terbang komuniti terpencil berkenaan yang memburukkan lagi keadaan semasa kebakaran berlaku.
/file/attachments/orphans/sibu11_809835.jpg)
Tiada bomba khas, baju kalis api reput
Semasa kejadian yang berlaku kira-kira jam 3:30 petang pada 8 Sept lalu, tiada anggota bomba ditempatkan di STOLport berkenaan. Tugas memadam api dan menyelamat dipikul oleh anggota sukarelawan RELA dan Polis Bantuan (AVSEC) yang hanya berstatus petugas bantuan.
"Lebih memburukkan keadaan, petugas bantuan terpaksa mempertaruhkan nyawa memadamkan api tanpa memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE) bomba yang lengkap.
"Pemeriksaan BSKU ke atas kelengkapan keselamatan di STOLport tersebut mendapati baju kalis api serta topi keledar yang disediakan berada dalam keadaan usang, mengalami kerosakan fizikal, dan reput (deterioration) akibat tidak diselenggara.
"Meskipun 12 unit alat pemadam api jenis debu kering merangkumi lima unit berkapasiti 50 kilogram dan tujuh unit berkapasiti 9 kilogram telah diguna pakai oleh petugas dan penduduk kampung, kimpalan api yang terlalu marak gagal dikawal.
"Pesawat berkenaan terus terbakar rentung selama beberapa jam di tepi landasan,"tambahnya.
Kejadian berlaku ketika helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF dengan panggilan MEDIC3 itu sedang melaksanakan misi berjadual Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
/file/attachments/orphans/sibu13_646599.jpg)
Pesawat memulakan penerbangan dari Miri pada jam 10.15 pagi menuju ke Ba’Lai, sebelum meneruskan penerbangan ke Selungo pada jam 1.36 tengah hari untuk mengisi semula bahan api.
Selepas berlepas dari Selungo menuju ke Long Lellang pada jam 3.17 petang, sistem kawalan pergerakan satelit (Spider Track) terputus kira-kira 3 batu nautika (NM) sebelum tiba di destinasi.
Rakaman video berdurasi 37 saat daripada saksi awam di darat merakamkan helikopter berkenaan sudah pun mengeluarkan jejak asap tebal dan nyalaan api di bahagian belakang main gearbox semasa terbang menghampiri Landasan 04 sebelum terhempas kira-kira 25 meter dari ambang landasan.
BSKU turut mengesahkan helikopter berkenaan tidak dilengkapi Perakam Data Penerbangan (FDR) mahupun Perakam Suara Kokpit (CVR).
Bagaimanapun, tiada sebarang pelanggaran syarat berlaku kerana pemasangan 'kotak hitam' memang tidak diwajibkan di bawah peraturan penerbangan bagi kategori pesawat tersebut.
Pasukan penyelamat khas PDRM, JBPM, dan KKM hanya tiba di lokasi pada hari kedua menggunakan helikopter disebabkan bentuk muka bumi Long Lellang yang amat terpencil dan laluan darat yang terhad.
Kementerian Pengangkutan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa dan menegaskan siasatan dijalankan berpandukan Annex 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa khusus untuk tujuan pencegahan, bukannya bagi menuding kesalahan atau liabiliti.
"Analisis penuh mengenai punca api pada bahagian enjin/transmisi akan diperincikan dalam laporan akhir kelak," kata kementerian itu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/sibu12_992247.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.