Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) hari ini menghantar memorandum kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berhubung kejadian sekolah runtuh di Klang yang mencederakan sekolah pelajar perempuan.

Menurut kenyataan PRIM semalam, memorandum itu dihantar oleh setiausaha agung penaja parti itu, RN Rajah.

Bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil SRJK(T) Tepi Sungai yang runtuh kelmarin akibat dimakan anai-anai, mengakibatkan seorang murid perempuan tercedera di kepalanya.

Menurut laporan akhbar Malaysian Nanban semalam, sekolah yang berusia 80 tahun itu mempunyai lebih 100 murid dengan 12 tenaga pengajar.

Menurut Rajah, pihak sekolah berkenaan sudah berkali-kali membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan kerosakannya tidak baiki sehingga mengakibatkan bangunannya runtuh kelmarin.

Berikutan kejadian itu, beliau berharap kementerian berkenaan bertindak segera supaya tiada lagi pelajar sekolah terbabit tidak menjadi mangsa kepada keadaan bangunan sekolah itu yang hampir runtuh.

Tukar taraf

"Sebelum ini pun kami telah menerima banyak aduan dan laporan mengenai keadaan kebanyakan sekolah Tamil, terutama sekolah separuh bantuan yang kini teruk di makan anai-anai atau menunggu masa untuk runtuh," tambahnya.

Oleh itu, Rajah meminta Kementerian Pendidikan supaya membantu sekolah Tamil dengan menukar tarafnya daripada 'sekolah separuh bantuan' kepada 'sekolah bantuan penuh'.

Katanya, pada 10 Mac lalu, akhbar The Star telah melaporkan pengerusi MIC, Datuk Seri S Samy Velu sebagai berkata, kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk menukarkan taraf 'sekolah separuh bantuan' kepada 'bantuan penuh'.

Bagaimanapun, Rajah mendakwa Kementerian Pendidikan telah memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah mengenai perkara itu.

Oleh itu, beliau sekali lagi menggesa supaya kesemua 526 sekolah Tamil di seluruh negara di jadikan sekolah bantun penuh kerajaan.