Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Penarikan diri" tiga wakil masyarakat India daripada panel bebas yang mengkaji cadangan pindaan Interlok menimbulkan tanda tanya apabila badan itu didakwa telah tamat tugas pada 4 Mac lalu.

dr shamsul amri "Mengikut terma rujukan panel bebas, panel itu tamat tugas setelah bersetuju menghantar suatu keputusan konsensus kepada menteri," kata bekas pengerusinya Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin ( kiri ).

Beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, segala cadangan pindaan telah dihantar pada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Mac lalu untuk diteliti.

"Lepas itu saya ke luar negeri untuk tugas rasmi," katanya yang tidak hadir dalam pertemuan dengan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri di parlimen semalam.

Dalam komunikasi melalui SMS, Shamsul bagaimanapun enggan memperincikan permuafakatan yang dicapai sebaliknya meminta Malaysiakini mendapatkannya daripada pihak yang "tarik diri".

"Satu salinan konsensus tersebut ada pada setiap ahli panel," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, menurut seorang bekas anggotanya Uthaya Sankar SB, kesepakatan dicapai bagi menggugurkan perkataan "paria" dan beberapa lagi pindaan yang mengambil kira sensitiviti serta kesalahan fakta dan bahasa.

azlan Uthaya - antara tiga anggota panel yang "menarik diri" - memberitahu, mereka mengambil tindakan itu setelah panel mula menolak satu persatu daripada kira-kira 100 pindaan yang dicadangkan dalam pertemuan semalam.

Sedangkan, menurut penulis novel dan cerpen terkenal itu, cadangan pindaan terhadap novel Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain telah diperakukan.

Dua lagi anggota yang mewakili masyarakat India, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan.

Mereka antara lapan panel yang ditubuhkan kerajaan yang mewakili pelbagai pihak, termasuklah wakil daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli akademik dan isteri pengarang novel itu sendiri.

ADS