PRN SARAWAK | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pengesahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung implikasi perundangan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas selesai proses penamaan calon esok.

Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata aspek berkenaan masih dalam penelitian AGC bagi memastikan sebarang tindakan atau keputusan mematuhi peraturan pilihan raya sedia ada.

Dia berkata berdasarkan peraturan semasa, semua proses pilihan raya yang ditetapkan perlu diteruskan, manakala sebarang pengumuman berhubung dengan isu itu hanya akan dibuat selepas SPR memperoleh pengesahan pihak berkaitan.

“Saya sudah minta perkara ini disemak dengan pihak AGC dan perkara ini masih lagi dalam semakan. Ada peraturan-peraturan berkaitan yang perlu kita patuhi.

“Kalau berdasarkan peraturan sedia ada, kita kena lihat semua proses pilihan raya ini terpaksa juga dijalankan, mesti dijalankan dan sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu,” katanya.

Ramlan berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon N 07 Samariang di Dewan Serbaguna Taman Sukma di Kuching, hari ini.

Berkenaan kemungkinan hanya seorang calon mengemukakan borang bagi sesuatu kerusi, Ramlan berkata, dalam keadaan begitu individu terbabit akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Ramlan berkata proses penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13 akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 pagi esok dan mengesahkan semua 82 pusat penamaan di seluruh negeri itu bersedia sepenuhnya.

Setakat malam tadi, katanya, sebanyak 721 borang penamaan calon dijual kepada parti politik dan individu yang berminat untuk bertanding, manakala 40 calon menjelaskan bayaran deposit.

Ramlan turut mengingatkan bakal calon supaya hadir awal bagi membolehkan semakan dokumen dilakukan dengan lancar, selain mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berkuasa agar proses berkenaan berlangsung secara aman dan teratur.

Mengenai peti undi bagi kawasan pedalaman, dia berkata, SPR akan memulakan penghantaran pada Rabu ini sebagai persiapan menghadapi proses pengundian pada 12 Dis.

Menurut Ramlan penghantaran itu merangkumi kawasan pedalaman termasuk Baram bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya di lokasi berkenaan.

Sehingga hari ini, GPS telah mengumumkan calon bagi kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebanyak 26, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan DAP masing-masing 12, satu bagi Parti Bangsa Malaysia, dan seorang calon bebas.

Situasi itu menjadikan daripada 82 kerusi berkenaan, sebanyak 44 kerusi hanya mempunyai seorang calon, 36 kerusi DUN dua calon dan dua kerusi membabitkan tiga calon setakat ini.

SPR menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, dengan hari penamaan calon esok, manakala pengundian awal pada 8 Dis.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

- Bernama