Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meninggal dunia malam tadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan berita duka itu.

“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira 9 malam tadi,” katanya yang dihubungi Bernama.

Abdul Gani, 71, merupakan lulusan undang-undang Universiti Malaya (UM) dan graduan universiti tempatan pertama dilantik sebagai Peguam Negara.

Allahyarham yang dilahirkan pada 6 Okt 1955 di Lahad Datu, Sabah, dilantik sebagai Peguam Negara kelapan pada 1 Jan 2002 hingga Julai 2015.

Abdul Gani menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1980 dan memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Sabah, Ketua Bahagian Pendakwaan dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang.

Antara kes berprofil tinggi yang dikendalikannya ialah pendakwaan terhadap 30 individu berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013.

Abdul Gani mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu, yang antara lain melibatkan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Anak kedua Allahyarham, Faezul Adzra Patail ketika dihubungi Bernama berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Prince Court pada 9.15 malam.

"Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pagi esok," katanya.

- Bernama