Nazri mahu Umno-PAS terus kerjasama, minta jangan layan Wawasan
Ketua Bahagian Umno Padang Rengas Nazri Aziz mahu kerjasama politik antara Umno dan PAS diteruskan tanpa melibatkan parti lain, termasuk Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang merupakan sekutu PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Nazri berkata ini khususnya dalam soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Jelas Nazri, Umno akan bertanding di kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU sebelum ini, selain kerusi yang kini diwakili ahli parlimen yang menyertai Wawasan.
Nazri bagaimanapun menambah bahawa pembahagian kerusi dengan PAS perlu dirundingkan.
“Sekarang ini kerusi yang dimenangi oleh Bersatu akan ditanding oleh Umno. Tapi kita berundinglah dengan PAS,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada PRU15, Bersatu memenangi 25 kerusi Parlimen ketika masih bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Nazri berkata Wawasan tidak mempunyai hak untuk menuntut kerusi berkenaan kerana parti itu tidak bertanding pada PRU15, sebaliknya ia dimenangi atas nama parti Bersatu.
“Kerusi Bersatu yang Wawasan ambil alih sekarang itu kerusi kita (Umno).
“Kalau dia nak claim (kata itu kerusi) Wawasan, takkanlah Umno dengan PAS yang ada akar umbi perlu bekerja bagi membantu Wawasan,” katanya.
Nazri turut merujuk Padang Rengas, yang dimenangi Azahari Hasan atas tiket Bersatu pada PRU15 sebelum menyertai Wawasan. PAS pula tidak bertanding di kerusi itu pada pilihan raya berkenaan.
“Tapi di Padang Rengas tak boleh beri Wawasan bertanding. Dia bukan Bersatu. Sebab itu saya kata cari kerusi lain,” katanya.
Menurut ahli politik veteran berusia 72 tahun itu, pendiriannya itu berkait dengan hasrat menjadikan kerjasama Umno-PAS sebagai asas rundingan pembahagian kerusi, sambil membezakan kerjasama dengan PAS daripada kerjasama dengan PN yang turut melibatkan Wawasan.
Dia berkata Presiden Umno sebelum ini menyatakan belum ada kerjasama dengan PN.
“PN ini sekarang dah tak ada Bersatu, walaupun ada Parti Wawasan, tapi dia bukan penyandang. Parti penyandang yang Bersatu, jadi itu kerusi kitalah itu, pasal PAS tak bertanding di situ,” katanya.
“Saya menyokong kerjasama dengan PAS. Dua parti ini boleh dikatakan parti pramerdeka yang mendapat dokongan orang Melayu di luar bandar dan kampung-kampung. Kalau kita bergabung, saya ingat insya-Allah laluan lebih mudah sedikit,” katanya.
Nazri turut menyifatkan Bersatu sebagai parti serpihan Umno yang kini semakin kecil selepas mengalami perpecahan, sekali gus menjadi alasan bagi Umno untuk mengambil semula kerusi yang pernah dimenangi parti itu.
Dia juga berkata Umno tidak bekerjasama dengan Amanah kerana parti itu merupakan serpihan PAS, dan menyamakan kedudukan Wawasan sebagai serpihan Umno.
“Pada kita, Wawasan tak ada.
“Tapi sebaik-baiknya PAS pun tak payahlah layan Wawasan ini. Dia serpihan Umno, sepertimana kita tak melayan Amanah yang merupakan parti serpihan PAS,” katanya.
Nazri menambah pembahagian kerusi antara Umno dan PAS perlu dilakukan melalui rundingan dengan mengambil kira kekuatan masing-masing, namun mengakui dia bukan sebahagian daripada kepimpinan tertinggi yang terlibat dalam rundingan berkenaan.
Nazri pernah menjadi ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal, termasuk dua penggal di Cenderoh dan empat penggal di Padang Rengas.
Meski dia tidak bertanding pada PRU15 bagi memberi laluan kepada calon lebih muda, Nazri berharap dapat kembali bertanding pada PRU16.
Bagaimanapun, di akur keputusan mengenai calon yang akan bertanding di Padang Rengas terletak pada kepimpinan parti.
Nazri kini Ketua Bahagian Umno Padang Rengas dan pernah menjadi anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, namun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan pusat parti.
Eloklah PASUMNO tolak Wawasan atas sbb mahukan kerusi Wawasan yg ada 19 dan 12 kerusi Bersatu. Setakat PASUMNO pun baru ada 73 kerusi parlimen. Msknanya PASUMNO perlukan 31 kerusi Bersatu Wawasan . Drp 31 ini tak mungkin PASUMNO menang semua
Adakah Umno kini gagah bully Bersatu dan Wawasan? Adakah Umno hanya takut Pas sekarang?
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/85fb8cc4383ae45683788e80588ef1a6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.