Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen PKR hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan perbuatan memancing undi dalam tempoh pilihan raya.

Laporan berkenaan dibuat oleh sekumpulan lima wakil rakyat parti itu di pejabat SPRM Kuala Lumpur pagi ini.

Lima wakil rakyat PKR yang membuat laporan itu ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Loh Gwo Burne (Kelana Jaya), Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat) dan Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

Setiausaha politik ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi berkata, laporan itu dibuat berdasarkan satu kenyataan oleh presiden Transparency International, Datuk Paul Low semalam.

Kenyataan pemantau rasuah itu menolak penjelasan oleh seorang menteri kabinet sebelum ini bahawa bantuan segera kepada rakyat ketika kempen pilihan raya tidak boleh ditakrif sebagai rasuah.

Turut dilampirkan dalam laporan itu ialah pautan web kepada satu laporan video oleh Malaysiakini serta laporan berita oleh agensi berita Bernama dan laman The Malaysian Insider .

"Berdasarkan beberapa (laporan) akhbar yang telah disertakan di sini, ahli-ahli parlimen PKR di atas berpendapat bahawa salah laku rasuah telah terjadi, dan ingin pihak SPRM menjalankan penyiasatan ke atas mereka yang terlibat," kata Fahmi dalam satu kenyataan.

'You help me, I help you'

Laporan video Malaysiakini bertajuk 'Najib: I help you, you help me' itu adalah berhubung liputan ke atas satu program yang disertai perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pilihan raya kecil Sibu pada Mei tahun lalu.

Dalam ucapannya di majlis itu, Najib telah berjanji bahawa kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk satu projek tebatan banjir di Sibu sekiranya BN menang dalam pilihan raya berkenaan.

Tiga laporan oleh Bernama itu pula adalah berhubung peruntukan yang diumumkan kerajaan bagi projek infrastruktur di Sarawak.

Salah satu daripadanya adalah laporan bertarikh 23 Mac lalu berhubung peruntukan sebanyak RM5.7 bilion kepada negeri Sarawak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

Satu lagi laporan itu, bertarikh 30 Mac, adalah berhubung pengumuman peruntukan sebanyak RM73.68 juta untuk menaik taraf hampir 1,600 sekolah di negeri itu.

Wakil rakyat berkenaan turut melampirkan satu lagi laporan berhubung pemberian geran sebanyak RM1.9 juta kepada sebuah sekolah menengah di Kuching.

Laporan pada 30 Mac itu menyebut, geran berkenaan disampaikan oleh timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ADS