Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata, beliau yakin Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat individu yang terlibat dalam satu tayangan video lucah kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan bulan lalu.

Shamsul Iskandar berkata demikian selepas disiasat hampir dua jam bermula 10.45 pagi oleh JAWI hari ini berhubung dakwaan Qazaf (tuduhan perbuatan zina) yang dilakukan ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE Katanya lagi, JAWI telah meminta beliau untuk hadir semula pada 4 Mei depan bagi memberi keterangan lanjut berhubung penayangan video yang dijalankan di sebuah hotel ternama.

Khususnya, maklumat berkenaan adalah berhubung penglibatan individu tertentu yang bertanggungjawab mendedahkan video lucah tersebut, kata Shamsul lagi.

"Saya yakin JAWI ada komitmen dan nampak bersungguh untuk siasat kes ini. Saya tidak mahu buat andaian awal, tetapi (kes Qazaf) perlu dibawa ke mahkamah syariah untuk dibuat pendakwaan.

"(Saya) ada nampak keseriusan (JAWI) untuk membuat penyiasatan, tetapi tidak memadai dengan siasatan, mesti disusuli dengan pendakwaan," katanya kepada media hari ini.

Shamsul Iskandar juga berkata, beliau telah ditanya oleh pegawai penyiasat JAWI berhubung pandangannya mengenai "agenda politik" yang mungkin berkait dengan isu video lucah itu.

"Saya kemukakan (jawapan) bahawa masa (pendedahan video) adalah sempurna iaitu penayangannya adalah pada 21 Mac, (pada) tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kes pendakwaan Datuk Seri Anwar di (peringkat) akhir," katanya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar turut mengulas mengenai isu berhubung seutas jam tangan berjenama yang didakwa telah diambil daripada lokasi rakaman video lucah berkenaan.

Jelasnya, pihak yang menimbulkan isu jam tangan itulah yang sepatutnya perlu mengemukakan jam berkenaan.

azlan "Kenapa diasak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (untuk menunjukkan jam itu)," soalnya.

Turut mengiringi Shamsul Iskandar ke JAWI hari ini adalah dua peguamnya Fahda Nur Ahmad Kamar dan Muhammad Amir Nazli Hussin.

Beliau turut ditemani dua orang pemimpin muda PKR – ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf dan ketua AMK Batu Rozan Azen Mat Rasip.

Difahamkan, Rozan Azen dan juga ketua AMK Wangsa Maju Mohd Hamdi Mohd Said juga dipanggil bagi memberi keterangan kepada JAWI pada minggu ini.

Kedua-duanya sebelum ini hadir bagi mengiringi Shamsul Iskandar yang membuat laporan kepada JAWI berhubung dakwaan Qazaf itu pada awal bulan ini.

Laporan berkenaan dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mac lalu, tiga orang individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengakui bahawa mereka merupakan trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelumnya.

Dua lagi individu terlibat ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim.

 

ADS