Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Laporan NEC berkaitan tarif elektrik diteliti
Diterbitkan:  May 27, 2011 7:57 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik.

"Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan.. terpulang kepada mereka," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada benar atau tidak mesyuarat Majlis Ekonomi Negara meluluskan kenaikan tarif elektrik.

Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: "Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham."

"Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

"Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil," katanya.

Hari ini, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC pada hari ini.

Bagaimana pun, ia masih diperhalusi dan pengumuman berhubung perkara tersebut akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

- Bernama

ADS