Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MPPP: Penunggang kuda cuba larikan diri
Diterbitkan:  Jun 9, 2011 6:10 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini menjelaskan bahawa insiden kanak-kanak dirempuh kuda di pantai Batu Feringghi kelmarin berlaku ketika penunggang kuda itu cuba melarikan diri daripada anggota penguatkuasa majlis berkenaan.

Menurut MPPP, penunggang kuda tersebut terserempak dengan anggota bahagian penguatkuasa ketika memasuki kawasan berkenaan dan cuba mengelak daripada ditangkap dengan menunggang ke arah bertentangan.

"Ketika cubaan untuk mengelak daripada tindakan penguatkuasaan, penunggang kuda itu melanggar seorang kanak-kanak yang berada di kawasan pantai.

"MPPP merasa dukacita dengan kejadian yang berlaku hingga mencederakan seorang kanak-kanak dan ingin merakamkan rasa simpati kepada keluarga kanak-kanak berkenaan," menurut kenyataan itu.

Terdapat larangan aktiviti berkuda di kawasan Pantai Batu Feringhi di bawah peruntukan Undang-undang Kecil (Lembu/Kerbau Dalam Bandar 1968) dan Undang-undang Kecil (Lembu/Kerbau Luar Bandar 1972).

Mengenai dakwaan bahawa dua anggota penguatkuasa MPPP yang berada di kawasan kemalangan tidak membantu kanak-kanak yang cedera itu, MPPP menjelaskan anggota berkenaan tidak mempunyai kepakaran paramedik selain dikhuatiri kanak-kanak terbabit akan mengalami kecederaan lebih teruk sekiranya mereka membantunya.

Bagaimanapun, menurutnya anggota berkenaan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam

untuk mendapatkan bantuan.

Berikutan kemalangan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Feringghi dan kuda berkenaaan ditangkap oleh bahagian penguatkuasa MPPP sementara penunggangnya ditahan polis.

"MPPP akan terus bekerjasama dengan pihak polis dan kerajaan negeri untuk meningkatkan penguatkuasaan ke atas larangan aktiviti kuda di kawasan pantai Batu Feringghi," menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Arina Kirana Azrin, 5, patah bahu kiri setelah dirempuh kuda di kawasan belakang sebuah hotel.

- Bernama

ADS