Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC mohon Thaipusam diisytihar cuti di Melaka
Diterbitkan:  Jun 17, 2011 2:39 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

MIC Melaka memohon kepada kerajaan Melaka agar perayaan Thaipusam yang diraikan masyarakat India di negara ini setiap tahun, diisytiharkan sebagai hari cuti umum di Melaka.

Pengerusi MIC Melaka Datuk R Perumal berkata pengisytiharan Thaipusam sebagai cuti umum dapat memudahkan masyarakat India di Melaka melakukan amalan keagamaan mereka sempena perayaan itu.

thaipusam mb khalid visit 290110 01 "Cuti umum turut memudahkan masyarakat lain berkongsi kemeriahan Thaipusam sesuai dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Badan Perhubungan MIC Melaka Ke-65 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, malam semalam.

Konvensyen itu dirasmikan Presiden MIC Datuk G Palanivel dan turut dihadiri lebih 300 anggota MIC dari seluruh negeri Melaka.

Sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor mengisytiharkan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum.

Sementara itu, Perumal berkata Kementerian Pelancongan memperuntukkan RM2 juta untuk menaik taraf kawasan di Jalan Bendahara dan persimpangan Jalan Temenggong di Melaka yang dikenali sebagai 'Little India Melaka' dan dijangka siap sebelum perayaan Deepavali pada tahun ini.

"Kerja naik taraf itu melibatkan landskap, baik pulih dan pelbagai lagi. Kita masih lakukan kerja reka bentuk dan selepas itu kita akan adakan perbincangan dengan penduduk kawasan itu. Selepas penduduk setuju kita akan mulakan kerja naik taraf," katanya.

- Bernama

ADS