Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan BERSIH: PAS Melaka gerak 10,000 ahli

PAS Melaka memberi komitmen menyokong perhimpunan BERSIH 2.0 dan lebih 10,000 ahlinya akan menyertainya di ibunegara pada 9 Julai depan.

Pesuruhjayanya, Adly Zahari berkata, ia sebagai menyokong tuntutan lapan perkara yang diminta oleh BERSIH.

Menurutnya, perhimpunan secara aman ini merupakan satu hak rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan, dan dengan demikian, tidak perlu dipertikaikan mana-mana pihak.

"Perhimpunan ini telah dirancang dari awal. Tindakan pihak lain mahu turut mengadakan perhimpunan pada tarikh yang sama merupakan satu provokasi mereka untuk menghalang BERSIH," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, pihaknya sudah mengerakkan ahli-ahlinya untuk menyokong perhimpunan tersebut.

Menurutnya, antara langkah bagi menjayakan usaha itu adalah dengan mengadakan ceramah serta iklan bagi mendapatkan sokongan dan penyertaan rakyat.

"Kita baru sahaja mengadakan mesyuarat Jawatankuasa BERSIH Negeri, di mana kita telah suarakan komitmen untuk menggerakkan lebih 10,000 ahli kita.

"Ingin saya tekankan bahawa perhimpunan ini bukanlah satu perhimpunan keganasan sebagaimana digambarkan sesetengah pihak," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan PKR Melaka, Hairiz Nordin berkata, parti berkenaan sudah mengerahkan ahli-ahlinya untuk turut serta dalam perhimpunan itu.

Menurutnya, perhimpunan itu sengaja diburukkan sesetengah pihak, yang mengambarkan seolah-olah ianya bertujuan mengulingkan kerajaan, sedangkan perhimpunan aman sebegini dijamin Artikel 10 Perlembagaan.

"Kita hanya menuntut perubahan dalam sistem pilihan raya. Mana-mana rakyat berfikiran waras tentunya mahukan supaya pilihan raya itu dijalankan dalam suasana yang bersih dan adil," katanya.

ADS