Bekas Menteri Sumber Manusia M Saravanan mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan secara terbuka notis pengisytiharan harta terhadapnya, sambil menyindir ia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) mingguan suruhanjaya itu.

"Ada banyak lagi perkara lebih penting yang rakyat menunggu pengumuman daripada SPRM.

"Saya percaya ini KPI SPRM untuk minggu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tapah itu diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman bahawa notis untuk mengisytiharkan harta akan dikeluarkan kepada Saravanan, isterinya dan tiga anak mereka.

Menurut Abd Halim, notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 itu akan diserahkan pada Isnin (28 Sept) kepada Saravanan, isterinya dan dua anak mereka.

Seorang lagi anak Saravanan yang berada di luar negara dijadualkan menerima notis berkenaan pada November.

"Mereka telah dimaklumkan dan akan hadir ke ibu pejabat SPRM bagi penyerahan notis tersebut.

"Tempoh 30 hari (untuk pengisytiharan harta) diberikan, dan sekiranya tempoh itu tidak mencukupi, lanjutan masa akan diberikan jika mereka memohonnya," kata Saravanan pada sidang media selepas majlis penutup Persidangan Penyelidikan Peringkat Kebangsaan mengenai Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah 2026 edisi kelima hari ini.

Saravanan sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat pada 2022.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata permintaan SPRM supaya dia, isteri dan tiga anaknya mengisytiharkan harta bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

"Secara amnya, SPRM meminta pengisytiharan harta untuk menyemak sama ada terdapat kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

"Ini adalah prosedur biasa dan saya tidak terkejut dengan permintaan itu sendiri," katanya.

Namun, dia mempersoalkan masa notis itu dikeluarkan, iaitu selepas dia didakwa di mahkamah dan bukannya sebelum pertuduhan dibuat.

"Yang mengejutkan saya ialah kenapa SPRM meminta saya isytihar harta selepas saya dituduh, bukan sebelum saya dituduh.

"Sekiranya ia diminta sebelum pertuduhan, ia boleh dianggap sebahagian daripada proses siasatan. Tetapi meminta ia sekarang agak mengejutkan," katanya.

"Adakah penyerahan notis pengisytiharan harta kepada saya sesuatu yang perlu diumumkan sedemikian rupa sehingga ketua suruhanjaya sendiri perlu bercakap mengenainya?" soalnya lagi.

Bagaimanapun, Saravanan menegaskan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan mematuhi permintaan SPRM sepenuhnya.

"Apa-apa pun, saya tiada apa untuk disembunyikan. Saya akan patuhi sepenuhnya, isytihar semua harta seperti yang diminta SPRM," katanya.