Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira-kira 150 ahli Umno, PAS dan NGO hari ini berkumpul untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat supaya mendesak sekutu negara itu - Israel - supaya jangan mengganggu kapal konvoi misi antarabangsa Freedom Flotilla II ke Gaza.

NONE Memorandum bantahan itu disediakan oleh Life Line 4 Gaza dan disokong oleh Umno, PAS, Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Peace Malaysia dan Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah (Pekida).

Mereka juga mendesak Amerika Syarikat supaya memberi tekanan ke atas Israel agar tidak menghalang perjalanan konvoi tersebut ke Gaza.

"Kami meminta Amerika Syarikat membuka mata lebih positif untuk menyelamatkan rakyat Gaza.

"Langkah ini adalah untuk umat Islam, dan ianya tidak ada provokasi selain daripada menghantar bantuan kemanusiaan," kata Setaiusaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid dalam satu sidang media.

Sebelum itu, beliau bersama-sama umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat, berarak dari sebuah tempat letak kereta yang terletak kira-kira 100 meter dari kedutaan Amerika.

Mereka juga membawa sepanduk dan kain rentang yang mengutuk tindakan Israel dan Amerika Syarikat dan melaungkan takbir beberapa kali.

NONE Sebelum sidang media dimulakan, Megat Firdouz bersama tiga lagi wakil NGO termasuk presiden Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al-Ehsan Malaysia, Muhammad Ridhwan Sulaiman dan setiausaha agung pengurusan Life Line 4 Gaza, Hishammuddin Hashim - menyerahkan memorandum tersebut kepada Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak.

Memorandum itu diserahkan kepada setiausaha kedua jabatan politik, Kedutaan Amerika, Greg Chapman di hadapan pintu masuk kedutaan.

Turut hadir memberi sokongan adalah wakil daripada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia dan Exco Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad.

Mengulas lanjut dalam sidang media, Megat Firdouz berkata, perhimpunan aman tersebut bertujuan membangkitkan isu kemanusiaan sejagat kerana ia adalah perjuangan bersama.

Ditanya mengenai ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang kini sudah dua minggu berada di Greece, beliau berkata ahli parlimen Rembau itu dan semua sukarelawan berada dalam keadaan selamat.

"Kesihatan YB Khairy sihat dan beliau tidak sabar-sabar untuk turut serta dalam misi kemanusiaan di Gaza," katanya.

Megat Firdouz juga menafikan tohmahan bahawa frotila itu membawa peralatan senjata dan menerima latihan ala tentera, tetapi sebaliknya menegaskan tujuan misi itu semata-mata mahu menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

NONE Sementara itu, Hishamuddin berkata  memorandum bantahan tersebut, menggariskan lima resolusi penting antaranya, mendesak Amerika memberi perlindungan kepada peserta misi frotilla.

"Kami menggesa kerajaan Amerika supaya mendesak Israel menghentikan penggunaan senjata terhadap Freedom Frotilla.

"Kami bimbang tindakan menghentikan misi frotilla ini akan memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada Amerika tetapi juga kepada masyarakat dunia," memorandum itu dipetik.

Mereka juga menggesa Amerika mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, dan seterusnya membenarkan misi frotilla memasuki Gaza untuk tujuan kemanusiaan.

GALERI FOTO

 

VIDEO | 4.35 mins

ADS