344 guru besar terlibat penjajaran gred kekal bertugas di sekolah
Sebanyak 344 guru besar atau 4.6 peratus daripada keseluruhan 7,627 guru besar di seluruh negara yang belum berada pada gred jawatan bersesuaian masih dikekalkan bertugas di sekolah masing-masing sementara proses penjajaran gred dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata langkah sementara itu diambil bagi menjaga kebajikan guru besar terlibat, meskipun penggredan semula jawatan berkenaan telah berkuat kuasa sejak Julai lepas.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memuktamadkan kaedah penyesuaian dasar dalam menangani isu berkenaan.
“Sejak Julai lepas, KPM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dan libat urus dengan JPA bagi mencari kaedah penyelesaian atau penyesuaian terbaik untuk semua pihak.
“Kita telah mengemukakan beberapa cadangan alternatif kepada JPA dan kini masih menunggu maklum balas serta keputusan muktamad berhubung perkara ini,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai implikasi perubahan gred sekolah terhadap penempatan dan perkembangan kerjaya guru besar.
Wong berkata sebanyak 7,283 guru besar atau 95.4 peratus daripada keseluruhan guru besar di negara ini telah berada pada gred jawatan bersesuaian dan boleh meneruskan tugas pengurusan sekolah seperti biasa.
Berhubung kebajikan dan perkembangan kerjaya guru besar yang terkesan, beliau memberi jaminan bahawa sebarang perubahan penempatan tidak akan menjejaskan gred hakiki atau emolumen bulanan mereka.
“Gaji pokok, elaun perkhidmatan dan faedah persaraan setiap guru besar kekal terpelihara. Peluang laluan kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan dan kecemerlangan akan tetap berjalan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keseluruhan proses peralihan akan dilaksanakan secara telus, profesional dan adil, tanpa mengetepikan jasa serta sumbangan guru besar yang telah lama berkhidmat dalam memajukan pendidikan negara.
-Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/39adc8a630859260202e4efd55d8eb2e.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.