Jika semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook yang meletak jawatan sebagai menteri kabinet susulan isu tahanan rumah ke atas bekas perdana menteri Najib Razak, sebagai seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada prinsip dan pendiriannya, hari ini dia mengubah pendirian itu.

Sebaliknya, timbalan perdana menteri itu berkata, pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke atas Najib wajib dihormati segenap lapisan institusi dan rakyat.

“Sesungguhnya keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah cerminan kuasa dan hak Perlembagaan Kebawah Duli Tuanku yang wajib dihormati oleh segenap lapisan institusi dan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan portal Umno Online.

Gambar Hiasan - Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi 1ketika bersama dengan Anthony Loke dan PDRM berhubung kemalangan lori FRU

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, Umno berpendirian sebarang perbuatan memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu keputusan diambil, membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Sultan Ibrahim.

Tegasnya, Umno akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi diraja sebagai tonggak penting dalam sistem pemerintahan negara.

“Malaysia adalah negara hukum dan selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, turut senada sambil menyifatkan tindakan setiausaha agung DAP itu adalah perkara yang kurang elok.

“Meletak jawatan kerana pengampunan diberikan oleh Tuanku Agong itu satu perkara yang kurang elok kerana tindakan sedemikian bukan isu prinsip,” katanya yang dipetik oleh akhbar Harian Metro, di Jasin, Melaka, hari ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan

Katanya, alasan prinsip diberikan bagi meletak jawatan itu sebaliknya dilihat sebagai tanda protes terhadap keputusan pengampunan itu.

“Itu termaktub dalam Perlembagaan, jadi jangan kita kata kita letak jawatan kerana Najib diberikan pengampunan itu tidak baik.”

Peletakan jawatan Loke berkuat kuasa semalam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjaranya bagi kes SRC International bawah tahanan rumah.

Loke menegaskan, ahli politik mesti menunaikan janji bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat, walaupun tindakan itu menyebabkan mereka kehilangan jawatan.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan peletakan jawatan Loke sebagai menteri kabinet adalah sia-sia dan tidak akan mengubah apa-apa selagi pemimpin DAP lain terus memegang jawatan mereka dalam kerajaan.

Katanya, tindakan individu berkenaan tidak memberi impak sekiranya barisan pemimpin DAP yang lain kekal sebagai menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran sedia ada.

"Saya menghormati keputusan Anthony Loke untuk meletakkan jawatan. Namun, tindakan seorang individu tidak akan mengubah keadaan jika pemimpin DAP lain masih terus memegang jawatan menteri dan timbalan menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas pemimpin PKR yang kini bersama Bersama itu berkata, dia menganggotai parti berkenaan selama 18 tahun dan cuba membawa perubahan dari dalam, namun menyifatkan perjuangan reformasi PH dan PKR kini sudah tidak boleh diselamatkan lagi.

Lee berkata sebelum ini rakyat pernah turun ke jalan raya dan sanggup berdepan tindakan pihak berkuasa untuk menumbangkan BN serta membawa pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan semasa Anwar menjadi simbol harapan reformasi.

Namun, apabila PH menerajui kerajaan, dalang skandal tersebut, Najib Razak mendapat kemudahan menjalani hukuman di rumah manakala kepimpinan PH khususnya Anwar seolah-olah tidak terkesan dengan perkembangan tersebut.

Sehubungan itu, Lee menyeru masyarakat agar tidak terus mempertahankan PH dan Anwar atas alasan tiada pilihan lain, selain menegaskan rakyat perlu memikirkan masa depan negara serta generasi akan datang.