Peniaga dituduh jual baju BERSIH

   

Seorang peniaga hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana dituduh menjual ratusan baju-T yang tertera perkataan yang mempunyai kepentingan pertubuhan haram.

    

Zakaria Che Will, 40, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin.

    

Dia didakwa menjual sebanyak 388 helai baju-T berwarna kuning bertulisan BERSIH bagi kepentingan satu pertubuhan haram di sebuah pasar pagi di Jalan Datuk Pati di sini pada 10.45 pagi lima hari lepas.

    

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali kerana memiliki pakaian dengan perkataan yang tertera bagi kepentingan pertubuhan haram.

Nur Zakiyah kemudiannya menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu dan mengenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Zakaria.

Zakaria diwakili peguam Abdul Rashid Yah, Mohd Murtaza Mokhtar dan Hatman Abdullah manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.

    

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In