Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggesa pemimpin DAP Pulau Pinang menghentikan perbalahan sesama sendiri dan merapatkan barisan menjelang PRU ke-16 (PRU16).

Berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang hari ini, Loke menekankan kepentingan perpaduan dan disiplin parti serta menggesa pemimpin menghormati mandat yang diberikan perwakilan.

Gesaan itu hadir susulan beberapa siri pertelingkahan terbuka antara penasihat DAP Lim Guan Eng dengan barisan kepimpinan parti di Pulau Pinang, termasuk Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Pengerusi DAP negeri, Steven Sim dan naib pengerusinya, Zairil Khir Johari.

“Tiada ruang untuk perpecahan dan tiada ruang untuk kita berbalah sesama sendiri. Kita mesti bersatu jika mahu menang pilihan raya,” katanya seperti dipetik The Star.

Gesaan supaya parti merapatkan barisan merupakan antara dua usul yang mendapat sokongan perwakilan pada konvensyen hari ini.

Satu lagi usul adalah supaya PRN Pulau Pinang akan datang diadakan serentak dengan PRU16.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata parti politik lain, termasuk Umno, sedang memperkukuh perpaduan dalaman dan sudah tiba masanya pemimpin DAP Pulau Pinang mengambil langkah sama.

“Saya mahu pemimpin yang duduk di atas pentas ini merapatkan barisan,” katanya seperti dipetik The Vibes, selepas perwakilan mengangkat tangan tanda menyokong usul berkenaan.

Loke turut menggesa ahli parti segera mempergiat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita tidak ada banyak masa. Kita mesti bermula esok,” katanya.

Bulan lalu, Lim membidas Sim berhubung dasar gaji minimum dan caruman wajib KWSP bagi pekerja asing, selain mendakwa pasukan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu melancarkan serangan peribadi terhadapnya.

Terbaru, Lim membidas Chow dan Zairil berhubung perjanjian bekalan air dengan Perak bernilai RM24.6 bilion, khususnya kewajipan membayar caj kapasiti RM210 juta setahun selama 40 tahun.

Chow bagaimanapun mempertahankan perjanjian itu dengan menegaskan ia mempunyai mekanisme perlindungan sekiranya berlaku kekurangan bekalan, selain menuduh Lim mengelirukan orang ramai meskipun penjelasan telah diberikan.

Hanya mahu ulas isu Pulau Pinang

Sementara itu, Loke enggan mengulas mengenai kedudukannya dalam kabinet, sehari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi memintanya kembali menjalankan tugas sebagai menteri pengangkutan.

“Tak apa, tak apa. Hari ini saya hanya akan komen mengenai Pulau Pinang. Terima kasih,” katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika didekati pemberita selepas merasmikan konvensyen berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Sim memuji keputusan Loke melepaskan jawatan dalam kabinet, sambil berkata ahli DAP Pulau Pinang berbangga dengan kesediaan setiausaha agung mereka mengorbankan jawatan menteri demi mempertahankan prinsipnya.

Semalam, Anwar berkata dia sukar menerima peletakan jawatan Loke susulan prestasi baik pemimpin DAP itu sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan.

Meskipun menghormati dan memahami alasan Loke meletakkan jawatan, Anwar menegaskan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara perlu diutamakan.

Pada 10 Nov lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Peletakan jawatan Loke merupakan keputusan kolektif DAP sebagai tanda bantahan parti itu terhadap tahanan rumah Najib.

Bagaimanapun, menteri dan timbalan menteri DAP yang lain kekal dalam kerajaan demi menjaga kestabilan politik.

Di sebalik beberapa percubaan Anwar untuk memujuknya supaya mempertimbangkan semula keputusan itu, Loke sebelum ini menegaskan peletakan jawatannya adalah muktamad.