Naib Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Mad Shah mempersoalkan siapa sebenarnya yang memimpin PH, sama ada Pengerusinya Anwar Ibrahim atau DAP sebagai parti komponen terbesar gabungan itu.

Dia berkata persoalan itu timbul susulan keputusan DAP meletakkan calon di 14 kerusi untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, walaupun kedua-dua parti merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Hairi, tindakan DAP itu menunjukkan kegagalan Anwar menyelaraskan pendirian parti-parti dalam gabungan berkenaan.

"Apabila parti terbesar dalam gabungan sendiri bebas menentang rakan Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang teguran, rakyat berhak bertanya: siapa sebenarnya yang memimpin PH? Pengerusinya, atau parti komponen terbesarnya? Atau adakah Datuk Seri Anwar terlalu bergantung kepada 40 kerusi DAP sehingga tidak berani menegur?"soalnya dalam kenyataan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Hairi Mad Shah

Pada 25 Nov lalu, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa Anwar tunduk kepada ugutan GPS susulan keputusan PKR untuk tidak bertanding dalam PRN Sarawak.

Chong mendakwa PKR mengorbankan demokrasi di Sarawak untuk mendapatkan sokongan politik di peringkat persekutuan.

Anwar kemudian menafikan dakwaan itu dan menegaskan keputusan PKR dibuat atas semangat kerjasama, bukannya kerana tunduk kepada tekanan.

Mengulas perkara itu, Hairi mendakwa Anwar terpaksa mempertahankan diri daripada serangan dalam parti komponen sendiri, sekali gus menunjukkan dia hilang kawalan terhadap PH.

"Akhirnya, Anwar sendiri terpaksa tampil menjawab, “kerjasama, bukan tunduk”.

"Apabila seorang Pengerusi gabungan terpaksa mempertahankan diri daripada serangan parti komponennya sendiri, itu petanda jelas beliau sudah hilang kawalan ke atas rumahnya sendiri.

"Datuk Seri Anwar bukan sekadar Pengerusi PH. Beliau juga Perdana Menteri yang memimpin sebuah kerajaan gabungan. Jika beliau tidak mampu duduk semeja dengan Setiausaha Agung DAP dan mencapai satu keputusan bersama untuk Sarawak, bagaimana rakyat mahu yakin beliau mampu menjaga keharmonian seluruh Kerajaan Perpaduan?"soalnya.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen


Hairi turut menyifatkan keputusan DAP tidak membenarkan pemimpin bukan Sarawak yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri persekutuan turun berkempen, tetapi pada masa sama meletakkan calon menentang GPS sebagai tindakan bermuka-muka.

"Kerusi Kabinet dijaga rapi di Putrajaya, tetapi calon tetap dihantar untuk menjatuhkan GPS di Sarawak. Senyum di meja Kabinet, menikam dari belakang di gelanggang negeri," katanya.

Mengulas sokongan parti-parti lain terhadap kerajaan persekutuan selepas PRU15, Hairi mengingatkan Anwar bahawa dia menjadi perdana menteri hasil sokongan BN, GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya Anwar tidak lagi mampu menyatukan rakan-rakan gabungannya.

"Jika Pengerusi PH sudah tidak mampu menyatukan rakan-rakannya sendiri, lebih baik Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat, daripada terus berpaut pada kuasa dengan wajah perpaduan yang hanya kelihatan ketika membahagikan jawatan," katanya.

Dalam pada itu, Hairi menggesa rakyat Sarawak menghukum DAP melalui peti undi pada 12 Disember ini dan memberikan mandat lebih kukuh kepada GPS.

Dia turut mengucapkan tahniah kepada GPS atas kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13, pada 28 Nov lalu.