Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyokong penuh tindakan kerajaan PAS Kedah mengharamkan pembukaan pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, larangan tersebut bertujuan menjaga kesucian agama Islam serta menggalakkan umat Islam beribadat dalam bulan yang suci itu.

"PPMM kesal dengan tindakan MCA dan DAP mempertikaikan larangan tersebut yang langsung tidak peka kepada sensitiviti umat Islam di bulan yang suci itu," katanya.

Pada 13 Julai lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua 13 jenis pusat hiburan di negeri itu menghentikan operasinya Ramadan ini.

MCA dilaporkan menyelar tindakan itu yang didakwanya sebagai perlanggaran hak asasi manusia dan hak dalam perlembagaan terhadap bukan Islam.

Dalam kenyataan hari ini, Zainul Rijal mendakwa bantahan terhadap perkara itu memberi implikasi kepada kedudukan dan kesucian Islam sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Islam juga merupakan agama bagi semua negeri di Malaysia selain Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri-negeri," katanya.

Katanya, PPMM berpandanganm segala kepentingan lain termasuk ekonomi hendaklah tidak mengatasi keluhuran perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.

"PPMM juga menyembah takzim kepada ke bawah Duli Sultan Kedah sebagai ketua agama agar tidak berganjak dengan ketetapan bagi memelihara kesucian agama Islam," katanya.

Beliau juga menyeru kepada ahli-ahli politik yang lain khususnya Umno agar mengetepikan ideologi politik dan menyokong larangan tersebut demi memelihara kesucian agama Islam dan menjauhkan umat Islam dari gejala maksiat khususnya di bulan Ramadan.

"Perbezaan ideologi politik di kalangan umat Islam telah menjadikan umat Islam tidak bersatu walaupun dalam isu-isu Islam," tambah beliau.

ADS