Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Makanan memainkan peranan penting dalam kehidupan. Salah satu perkara yang menyenangkan hati suami apabila pulang ke rumah ialah menikmati hidangan yang dimasak sendiri oleh isterinya. Begitu juga dengan anak-anak.

NONE Tidak ada perkara yang lebih membahagiakan daripada menikmati hidangan hasil air tangan ibu mereka. Malah makan bersama merapatkan lagi hubungan antara seisi keluarga.

Tetapi kini keadaannya sudah jauh berubah. Memasak makanan di rumah dan kemudian makan bersama sudah tidak menjadi amalan keluarga zaman sekarang. Memandangkan semakin ramai wanita bekerja di luar rumah, memasak untuk keluarga sudah jarang dilakukan.

Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan yang murah dan mudah diperolehi. Terdapat makanan dijual di pasar malam, gerai penjaja dan restoran makanan segera, sementara tempat-tempat makan yang dibuka 24 jam yang menjual capati dan teh halia boleh dinikmati oleh sesiapa saja yang lapar selepas tengah malam.

NONE Sebenarnya, hidangan yang dikomersialkan ini mendedahkan ancaman kesihatan yang serius kepada pengguna. Misalnya makanan seumpamanya mengandungi terlalu banyak lemak, gula dan garam, malah kadangkala disediakan dalam keadaan yang tidak bersih.

Penduduk Malaysia sepatutnya berusaha mengurangkan lemak dan gula dalam makanan tempatan kerana Malaysia mempunyai jumlah  penghidap diabetes, strok dan penyakit jantung antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Gaya hidup

Pada tahun 2000, 7.6 peratus atau 1.82 juta  penduduk Malaysia yang melebihi usia 20 tahun adalah penghidap diabetes dalam negara yang mempunyai sekitar 24 juta penduduk, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

overweight fat malaysian 290906 fat person Pakar-pakar menyalahkan kemewahan, gaya hidup yang santai dan trend semasa di mana semakin ramai ibu bekerja menyumbang kepada masalah kesihatan yang semakin meningkat. Pada amnya penduduk Malaysia semakin banyak mengambil makanan yang tinggi kalorinya.

Menurut perangkaan kerajaan, lebih dua pertiga daripada penduduk yang berusia 18 tahun ke atas tidak bersenam. Kira-kira 54 peratus penduduk dewasa pula sama ada obes atau mempunyai berat badan yang berlebihan, berbanding cuma 24.1 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu. Akibatnya, tujuh daripada 10 orang dewasa di Malaysia menghidap penyakit-penyakit yang kronik.

Diabetes dan kegagalan ginjal tahap akhir merupakan masalah kesihatan yang serius di Malaysia. Adalah dianggarkan terdapat 13,000 pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis dan setiap tahun terdapat 2,500 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Satu lagi hal yang membimbangkan ialah 4 dari 5 penghidap diabetes akan mati akibat penyakit jantung (pembunuh utama di negara ini). Enam kes baru strok pula berlaku setiap sejam di Malaysia.

NONE Tinjauan mendapati bagi setiap penghidap diabetes yang dikenal pasti, terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit ini (oleh itu tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya) sehinggalah berlaku komplikasi yang sukar diubati.

Lebih buruk lagi, diabetes Jenis 2 bukan sekadar membabitkan golongan usia pertengahan atau tua, malah kanak-kanak semuda 10 tahun yang menderitai diabetes (jenis 1 dan jenis 2) sudah menjadi satu kelaziman di sini.

Biasanya obes

Doktor mendapati kanak-kanak penghidap diabetes biasanya obes, yang berpunca daripada memakan terlalu banyak makanan yang tidak sihat dan menjalani gaya hidup santai. Menurut tinjauan tersebut, diabetes Jenis 2 lebih ketara di kalangan mereka yang berusia di antara 18-29 tahun, namun terdapat juga kanak-kanak yang menghidapnya.

overweight fat malaysian 290906 kid Menurut seorang perunding kanan kanak kanak, amalan makan kanak-kanak yang buruk seperti suka memakan burger, naget, ayam goreng, kentang goreng dan minuman berkarbonat merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada obesiti. Melakukan kerja sekolah di rumah berjam-jam lamanya, menonton TV dan bermain permainan komputer memburukkan lagi keadaan.

Pengambilan gula yang tinggi (yang juga menyebabkan obesiti) di kalangan penduduk turut menjadi salah satu penyebab diabetes. Kita mengambil 26 sudu teh gula sehari dan merupakan pengguna gula kelapan tertinggi di dunia.

Di sebalik kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan untuk mendidik orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat, taraf kesihatan penduduk negara ini semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Bilangan penghidap bukan penyakit-penyakit berjangkit seperti diabetes terus meningkat di kalangan penduduk.

NONE Sudah tiba masanya kita mencari pendekatan yang bersifat kerohanian untuk menyelesaikan masalah tersebut dan jawapannya terletak kepada dapur dalam setiap rumah. Tidak ada makanan yang boleh menyaingi makanan yang dimasak sendiri di rumah, kerana seseorang itu berpeluang memilih ramuan yang menyihatkan.

Kelas memasak

Sehubungan dengan tahap kesihatan yang semakin merosot di Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pendidikan supaya memperkenalkan kelas memasak di sekolah-sekolah tanpa mengira jantina. Pelajar perlu diajar cara memasak agar mereka mempunyai kebolehan memasak hidangan yang menyihatkan untuk keluarga mereka.

Mereka yang jarang memasak mungkin akan merasakan ia satu tugas yang berat. Bagaimanapun terdapat beberapa panduan untuk memudahkan kerja memasak dan lebih enak untuk dijamah.

Rancang hidangan

Penting untuk merancang menu terlebih dahulu. Ia mungkin cuma mengambil masa beberapa hari atau seminggu dua lebih awal. Ketahuilah apa yang akan dimasak pada keesokan hari. Pastikan masakan anda mudah disediakan serta menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi.

Sediakan senarai barang belian

Sesudah anda merancang hidangan mudah menggunakan bahan ramuan yang mudah diperolehi, anda boleh memenuhkan kabinet di dapur dengan bahan-bahan ini. Simpanlah senarai barangan ini dan periksalah berapa yang masih tinggal. Cuba beli barang keperluan ini ketika jualan murah tetapi perhatikan juga tarikh tamat tempoh penggunaannya.

Sediakan senarai belian runcit

Sungguhpun pada mulanya ia akan memakan masa namun ia menjimatkan masa pada masa depan. Buat senarai barangan yang biasa dibeli secara mingguan atau bulanan. Apabila tiba masa untuk berbelanja, catatkan senarai barangan yang hendak dibeli.

Simpan senarai harga

Ketahui apa yang dibelanjakan ke atas barang makanan. Gunakan buku nota kecil untuk mencatatkan harga ketika membeli dan simpan senarai itu di dalam komputer. Ini penting untuk mengetahui bajet anda.

Gunakan petak penyejuk beku

Ketika memasak, cubalah agihkannya kepada dua bahagian. Simpanlah satu bahagian dalam petak penyejuk beku untuk dimakan apabila anda kesuntukan waktu untuk memasak. Ini boleh menghalang anda dari berkejar ke tempat makan atau restoran makanan segera.

Jaga kebersihan dapur

Memasak dalam dapur yang bersih dan tersusun rapi lebih menyeronokkan daripada memasak dalam keadaan dapur yang berselerak. Biasakan membersih dapur sambil anda memasak.


SM Mohamed Idris merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

ADS