Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PSM6 dijaga baik, kata IGP
Diterbitkan:  Jul 28, 2011 7:53 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Polis memberi jaminan kesemua enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) bulan lalu, dijaga dengan baik mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada.

    

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata sebarang tindakan yang diambil oleh pihaknya adalah berdasarkan undang-undang yang ada demi kepentingan dan keselamatan negara.

    

"Kita memberi jaminan semua tahanan adalah berdasarkan langkah prosedur yang ada dalam undang-undang, peguam mereka tahu, pihak-pihak tertentu telah dibenarkan berjumpa dengan (Dr D. Michael) Jeyakumar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pangkalan Latihan Unit Udara Polis di Ipoh hari ini.

    

Majlis perasmian iti disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Ismai berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan mogok lapar sejak pagi tadi oleh Dr Jeyakumar.

    

Katanya apa-apa hak yang patut diterima oleh tahanan terbabit telah diberikan oleh polis termasuk layanan yang baik mengikut prosedur tahanan.

Selain itu, ketika ditanya mengenai desakan supaya keenam-enam tahanan terbabit dibebaskan, Ismail berkata meminta semua pihak menunggu kerana kes mereka masih disiasat.

    

"Kita akan membuat keputusan sewajarnya. Apa yang kita buat adalah sebahagian daripada prosedur dan proses mengikut undang-undang kita," katanya.

Selain Dr Jeyakumar, lima yang lain yang ditahan ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33,  M. Sukumaran 50,  timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58,  dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25.

    

Keenam-enam aktivis PSM itu ditahan dua minggu sebelum perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih  2.0) di ibu negara pada 9 Julai lepas.

    

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

    

- Bernama

ADS