Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: Walaupun bebas, PSM6 masih disiasat
Diterbitkan:  Jul 31, 2011 9:13 PM
Dikemaskini: Aug 1, 2011 12:48 AM

Walaupun enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat, tetapi polis masih menjalankan siasatan mengenainya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    

"Polis masih menjalankan siasatan (terhadap enam anggota PSM). Perdana menteri sudah menyatakan apa juga tindakan adalah mengikut Jabatan Peguam Negara (AG).

NONE "Jikalau AG sudah buat keputusan, saya sendiri terpaksa akur," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Sembrong di Nyior hari ini.

Mereka yang dibebaskan itu termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu ialah setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33, M Sukumaran 50, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu, 25.

Semua mereka dibebaskan pada jam 5.30 petang di balai polis Jinjang Jumaat lalu.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.

Sementara itu, Hishammuddin berkata KDN telah menghantar pulang dua individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LLTE) ke Sri Lanka baru-baru ini.

    

Katanya, butiran lanjut tentang pengusiran dua yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa itu akan didedahkan esok.

    

"Dua orang yang mempunyai kaitan dengan LTTE dan ditahan di bawah ISA dan kita telah usir balik ke Sri Lanka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Sembrong di Nyior hari ini.

- Bernama

ADS