Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lima polis didakwa rompak warga Bangladesh
Diterbitkan:  Aug 19, 2011 2:43 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan 16 warga Bangladesh sejumlah wang tunai RM34,516, pada 8 Ogos lalu.

Mohd Afizi Mohd Nasir, 27; Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21; Azrin Adha Abdullah, 25; Mohd Faiz Muhammad, 25; dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20; didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di sebuah rumah No 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di Kuala Lumpur pada 12.01 pagi.

Semua tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit pekerja-pekerja buruh binaan itu.

Pertuduhan ke atas kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohamad Arfizi Mohd Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan semua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga.

"Saya juga merayu di bulan Ramadan yang mulia ini supaya semua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga masing-masing," katanya.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Sept ini untuk sebutan.

Semua tertuduh membayar wang jaminan itu.

- Bernama

ADS