Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tak pernah terima surat lantik AJK PAS S'gor'

Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata sehingga hari ini beliau tidak menerima surat perlantikan sebagai ahli jawatankuasa perhubungan negeri Selangor.

"Oleh sebab saya tidak menerima (surat perlantikan) secara rasmi, maka saya tidak berhajat untuk menghadirkan diri (dalam mesyuarat perhubungan).

"Kata orang, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Rasa saya, itu bukan prinsip kita. Prinsip kita profesional," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Tegasnya, beliau hanya mengetahui namanya disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa PAS negeri selepas disiarkan dalam akhbar, yang diberitahu oleh temannya.

Hasan turut beberapa kali membuat semakan dengan isteri dan pembantunya sama ada perhubungan PAS negeri menghantar surat rasmi atau tidak, mereka juga tidak menerima surat tersebut.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mengulas mengenai kedudukan beliau sebagai ahli jawatankuasa PAS negeri selepas pemilihan pucuk kepimpinan baru PAS bagi setiap peringkat beberapa bulan lalu.

Ditanya sama ada beliau akan menerima surat pelantikan itu selepas ini, Hasan menegaskan beliau tidak akan menerimanya.

"Perkara ini berlaku dekat lima, enam bulan, tak cantiklah.

"Tanya mana-mana pakar pengurusan, pakar organisasi, bagaimana nak jemput orang, nak hadir dalam satu majlis, atau ahli mana-mana pertubuhan, kalau surat tidak dikeluarkan.

"Mereka (PAS Selangor) profesional, saya profesional, maka eloklah kita bercakap tentang profesionalisme," katanya yang berkhidmat dengan PAS negeri hampir 15 tahun.

Beliau yang juga ADUN Gombak Setia pernah menjadi pesuruhjaya PAS negeri selama lapan tahun.

ADS