Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HIMPUN: Peluang sejuta keikhlasan daulatkan Islam

Seperti diduga Perhimpunan Sejuta Umat atau HIMPUN bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang diadakan di Stadium Shah Alam semalam mendapat sambutan yang hambar.

himpun rally empty stadium Hanya kira- kira 5,000 orang hadir. Sekretariat HIMPUN mensasarkan 100,000 umat Islam akan menggegarkan stadium itu dengan laungan azam mahu memperkukuh iman dan menghindar sebarang terjahan terhadap akidah mereka.

Memang tidak sukar difahami mengapa ini berlaku. Sejak awal lagi pelbagai kecurigaan sudah masuk menyelinap di kalangan orang Islam sendiri berhubung mengapa dan siapa yang menganjurkan pertemuan bersejarah ini.

Lantas, memang sejak mula idea ini dilontarkan ke tengah masyarakat isu HIMPUN ini telah diwarnai dengan pertimbangan politik.

Apabila sebut politik sahaja, ia pasti meresapkan kecurigaan dan prasangka. Parti-parti Melayu-Islam sebelah kem Pakatan Rakyat – PAS dan PKR – ada pendekatannya sendiri dalam soal penghayatan agama ini. Apatah lagi bila mengambil kira bahawa sikap lebih lunak mereka dalam menjalin hubungan dengan bangsa dan penganut agama lain sejak kebelakangan ini menjanjikan pulangan dividen politik yang agak lumayan.

himpun rally hasan ali speaking 2 Sikap PAS dan PKR dalam isu penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, kitab Injil dalam bahasa Malaysia dan soal murtad nampaknya berjaya meyakinkan rakyat bukan keturunan Melayu juga bukan Islam bahawa mereka lebih mudah bertolak ansur dalam pembahagian kesejahteraan politik di masa hadapan.

Lantas, sikap tidak ‘partisipatif’ Pakatan Rakyat dalam HIMPUN yang cuba memperagakan kekuatan dan keresahan umat Islam terhadap aktiviti segelintir bukan Islam yang cuba memesong akidah orang Islam, adalah berbaloi. Ia satu percaturan politik yang pasti dapat memenangi hati pengundi bukan Islam di ambang persiapan pilihanraya umum ke- 13 nanti.

Kesetiakawanan bangsa, agama

Di sebelah saf BN pula, Umno, tunjang parti Melayu-Islam juga tidak begitu ghairah untuk melekatkan namanya pada penganjuran HIMPUN. Perkiraannya juga sama. Jika tersohor penglibatan Umno dalam aktiviti yang boleh ditafsirkan sebagai memperaga kekuatan dan mencabar keberanian pihak lain berguling dalam kancah perbedaan agama, sudah pasti keyakinan dan kesetiakawanan antara bangsa dan agama dalam BN pula akan menipis.

himpun rally hasan ali, harussani zakaria, yusri mohamad Akibatnya, pasti dirasakan pada pilihanraya umum akan datang.

Maka tinggallah pihak penganjur sendirian untuk meyakinkan umat bahawa memang benar ada terjahan terhadap sempadan perhubungan antara agama di negara ini. Mereka terpaksa berdiri sendiri menyusun hujah dan prasarana untuk membentuk imej bahawa hubungan kaum dan agama memang kini tergugah.

Apabila hampir dengan tarikh 22 Oktober 2011 yang dinobatkan sebagai hari simbolik mempamerkan solidariti umat, sekretariat HIMPUN cuma boleh mengharapkan simpati umat Islam biasa yang tidak begitu cenderung dengan hujah parti-parti politik. Yang diharapkan ialah untuk dapat menyentuh hati orang Islam yang benar-benar sayangkan akidah sahaja

Namun satu perkara agak nyata. Kecekapan dan kebijaksanaan ahli-ahli politik Melayu terserlah dalam isu HIMPUN ini. Bukan sahaja mereka berjaya menghindar diri dari dikaitkan nama peribadi dan parti mereka dalam aktiviti yang julung kali diadakan ini tetapi melakar ruang untuk menggarap dividen politik jika projek itu berjaya atau kurang berjaya. Malah jika HIMPUN gagal sekalipun mereka mencongak laba politiknya.

himpun rally crowd in shah alam stadium 2 Bagi kita sama ada penyertaan setiap pihak itu adalah atas nama parti atau individu dalam projek HIMPUN bukan natijah yang harus menjadi persoalannya. Secara simboliknya, HIMPUN seharusnya dilihat sebagai peluang untuk memulakan satu usaha bersama dalam suasana ukhuwah Islamiah tulen untuk memurni dan memekarkan akidah umat Islam Malaysia.

Soal murtad adalah natijah banyak kepincangan dalam masyarakat Islam hari ini. Ia adalah manifestasi kelalaian umat dan pemimpin mereka; keculasan institusi agama dan pengendalinya; dan juga kecurangan ahli politik dalam cara memelihara kesucian agama Islam dan meletakkannya di persada harmoni dalam hubungan dengan penganut lain di Malaysia.

Citra Islam sebenar

Ini semua bukan mustahil diperbaiki. Malah HIMPUN boleh jadi pelancar pesawat agama untuk melakar potret dan citra Islam sebenar. Apa salahnya jika setiap parti politik Melayu Islam meletakkan glosari hujah politik mereka ke samping dan meletakkan simpulan iman mereka pada platform HIMPUN dan bicarakan kebobrokan citra umat Islam yang dipancarkan kepada umum hari ini?

himpun rally 221011 muslim singing Biarlah HIMPUN jadi cermin keikhlasan bukan hanya untuk bersatu memerangi pihak bukan Islam yang berhasad dengan Islam tetapi bersatu untuk mengatur susila untuk bermuhasabah sebagai satu umat yang total komitmennya dalam menghayati ajaran Rasulullah.

Banyak yang boleh diusahakan bersama. Misalnya, unsur murtad dan aktiviti yang memurtadkan tidak boleh dihapuskan sendirian dan sekelip mata. Ia perlu program dakwah dan tarbiyah yang tersusun. Untuk itu input semua pihak berkepentingan tidak kira individu, pertubuhan sosial atau parti memang mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mengorak langkah bersama untuk mencerah dan menyegarkan aktiviti dakwah di Malaysia yang jelas agak longlai dewasa ini.

Usahlah terjebak dalam kancah dan kotak istilah persengketaan. Bingkas menghukum adalah penyakit kronik dalam akidah. Apabila satu pihak rimas atau kurang senang dengan gelagat lain berhubung penghayatan dan pemahaman agama, segera diletakkan personaliti dan citra pihak yang kurang disenangai di dalam kotak istilah fasiq, zalim dan munafik tanpa mungkin memikirkan alur pemikiran ia sendiri adalah demikian.

himpun rally crowd in shah alam stadium 5 Ingatlah pesan Rasulullah apabila seseorang itu berkata kepada saudara “hai munafik, maka sudah pasti munafik salah seorang daripadanya”.

Mengapa letakkan diri dalam kancah bahaya di ruang akidah ini? Unsur iman ini perlu digilap dan dibajai sentiasa. Akidah perlu dipelihara dengan disiplin menuruti perintah Allah dan keikhlasan. Usahlah lebih “ikhlas” menegakkan assabiyah atau sikap berpuak-puak sesama sendiri hingga mengkaburkan ketulusan hubungan dengan Rabbul Jalil.

Neraca Allah

Kebenaran adalah hak mutlak Allah. Jangan kagum dan bangga dengan kerangka pemikiran sendiri mengenai isu kebenaran. Setiap manusia ada kecacatannya. HIMPUN adalah wadah yang memberi peluang kepada ummah untuk menjadikannya jambatan dalam usaha memahami satu lagi sisi kebenaran dan kebeningan akidah.

himpun rally crowd in shah alam stadium 6 perkasa ibrahim ali Usah lepaskan peluang yang Allah ciptakan dalam bentuk terjahan akidah umat Islam Malaysia hari ini untuk bermuzakarah, bermuhasabah dan mungkin bermubahalah, jika masih kurang selesa dengan pihak orang lain mengatur fikrah dalam kehidupan yang segera berubah-rubah ini.

Jika ada keikhlasan sesama sendiri, rasa hormat akan pasti terbit dan keikhlasan ini akan memancarkan satu kerukunan bukan sahaja sesama muslim tetapi menyelubungi seluruh umat manusia di Negara ini. Jangan tenggelam dalam perangkap ujub dan riya’ bahawa hanya pemikiran dan pendekatan sendiri yang lebih betul, lebih suci dan diredhai Ilahi.

Hanya neraca Allah yang sempurna. Jauhi ego dalam beragama.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

ADS