Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tidak perlu pinda AUKU, kata VC UiTM
Diterbitkan:  Nov 11, 2011 5:11 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak perlu dipinda.

Katanya, ia kerana politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapat pekerjaan bagi menjamin masa depan.

Beliau berkata, universiti itu tidak bersetuju dengan cadangan pindaan AUKU kerana kebebasan politik hanya akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Melayu dan Bumiputera di universiti.

    

"Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak yang mahu AUKU dipinda bagi memberi ruang dan kebebasan berpolitik kepada penuntut universiti.

    

Sahol Hamid berkata pada masa ini, penuntut telah diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka melalui persatuan yang disertai serta pilihan raya kampus yang diadakan, dan ini sudah memadai.

    

"Malah saya sendiri mempunyai akaun Facebook yang digunakan untuk berhubung secara terus dengan penuntut UiTM. Mereka boleh mengadu apa sahaja kepada saya dan tindakan yang sewajarnya akan diambil.

    

"Kalaupun minat sangat dengan politik, habiskan dulu pengajian. Di UiTM, pengajian kita adalah sangat intensif, jadi tidak ada masa untuk berpolitik," kata Sahol Hamid.

    

Mengulas lanjut, beliau berkata politik orang Melayu pada hari ini menjurus kepada perpecahan dan bukan perpaduan.

    

Beliau berkata apa yang jelas masing-masing cuba memburukkan sesama sendiri sambil terlupa pihak lain sentiasa bersatu padu dalam memastikan survival mereka di masa depan.

    

"Jangan terlalu ghairah sampai lupa sejarah, lupa helah dan tidak nampak apa yang sedang berlaku. Melayu sepatutnya kuat dan bersatu padu," katanya.

- Bernama

ADS