Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perwakilan dicadang sumpah bai'ah tak sabotaj calon

Dakwaan sumpah Bai'ah di kalangan pemimpin PAS turut menarik perhatian seorang perwakilan Umno yang membahaskan usul agama di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.

Perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan kepada pucuk kepimpinan juga mengadakan sumpah bai'ah di kalangan perwakilan untuk mengelak parti disabotaj oleh 'pengkhianat' dalam pilihan raya umum.

Bahkan, katanya, bai'ah itu juga bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan berhubung pemilihan calon boleh menang dalam pilihan raya itu.

"Saya cukup yakin, yang bercakap tentang calon, dan yang bercakap sabotaj yang membimbangkan, kita buat sumpah bai'ah supaya tidak ada pengkhianat dalam perjuangan kita ini.

"Kita bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, kita sokong calon pilihan pucuk pimpinan dan tak akan sabotaj parti ini setuju," katanya.

Lantas disambut oleh perwakilan yang hadir di Dewan Medeka melaungkan: "Setuju".

"Pembangkang membuat bai'ah juga," tambahnya.

Bercakap membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial, Komaruldin berkata ia juga sebagai bukti bahawa Umno tidak pernah mengetepikan perjuangan agama yang berlandaskan Al-Quran dan Al Sunnah.

Katanya, orang yang berani adalah orang yang ikhlas sambil memberi contoh Presiden Umno Datuk Seri Najib pernah bersumpah untuk menafikan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

"Ada ketua umum PKR berani bersumpah. Ada? Dekat mana dia bersumpah?" sindir Komarul.

"Andai kata kita tulus dan mulus, maka sumpah ba'iah adalah sesuatu yang penting untuk mempastikan tiada pengkhianatan dalam parti dan memastikan Umno berkuasa di negara ini," katanya.

ADS