Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bukan ulama korbankan prinsip PAS'
Diterbitkan:  Dec 20, 2011 7:28 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini bertegas bahawa PAS perlu kembali kepada perjuangan asal menubuhkan negara Islam dan tidak perlu tunduk kepada desakan DAP.

Beliau berkata perubahan prinsip perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam bermula sejak ia menyertai pakatan pembangkang bersama-sama PKR dan DAP.  

Katanya, perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam adalah sesuatu yang "hampir tidak boleh dirundingi" dan tidak harus dilupakan semata-mata mahu meneruskan kerjasama dengan DAP.

"Kalau kita lihat yang menjadi "stumbling block" (penghalang) adalah pemimpin tertinggi DAP. Pengerusi (DAP Karpal Singh) kata langkah mayat dia dulu...nampaknya seperti pintu dah tertutup dan terkunci buat selama-lamanya selagi dia masih hidup," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kuala Lumpur.  

Hasan berkata seluruh peringkat kepimpinan PAS bertanggungjawab untuk menyorot semula hasrat penubuhan negara Islam dan meletakkannya kembali sebagai wadah perjuangan utama parti.

Sambil menyifatkan rancangan penubuhan negara berkebajikan sebagai suatu yang sia-sia, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, perjuangan asal PAS sudah rapuh ekoran parti itu mula dikuasai golongan bukan ulama.

"Untuk meletakkan asas negara Islam, kita perlukan ulama yang muktabar, berfikiran jauh dan dapat garap Islam dalam konteks kehidupan moden ini. Saya yakin satu masa dahulu ulama PAS telah berjaya meletakkan inti-inti agama dalam kehidupan masyarakat moden.

"(Tetapi), pada pengamatan saya, golongan bukan ulama ini lebih cenderung mengamalkan politik akomodasi hingga sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti yang telah dipertahankan sejak penubuhannya," katanya.

Malah, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gombak Setia itu berkata, prinsip perjuangannya dalam memartabatkan Islam dan Melayu serta menobatkan Institusi Raja turut mendapat sokongan daripada penyokong akar umbi parti tersebut dan sebahagian besar rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, Hasan berkata seandainya Islam-Melayu bersatu dan Institusi Raja dinobatkan, maka akan terbuka ruang dan peluang yang lebih luas untuk penyatuan umat di negara ini tanpa mengira fahaman dan ideologi politik.

"Saya mempunyai fakta dan bukti bahawa masyarakat yang selama ini menyokong PAS  mula mempersoal dan bercadang menarik diri daripada memberi sokongan kepada PAS lantaran landasan utama perjuangan parti telah dikesampingkan," katanya.

Hasan seterusnya menempelak sikap Setiausaha Agung Pas Datuk Mustapa Ali dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar yang menurutnya mencemarkan imej parti itu berdasarkan komen-komen bersifat peribadi yang mereka lontarkan terhadapnya.

Mustapa sebelum ini mengatakan bahawa Hasan telah terjerat dalam perangkap Umno untuk melemahkan PAS, akibat pandangannya mengenai Islam, Melayu dan Institusi Raja, malah Mahfuz pula secara sinis mempersilakan Hasan menyertai Umno.

Sementara Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman telah menggesa Hasan untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti itu.

Beliau berkata Hasan sebenarnya mencemarkan imejnya sendiri dengan mengeluarkan kenyataan kepada media yang jelas bertentangan dengan pendirian parti.

- Bernama

ADS