Identiti 'Datuk' NFC mula diketahui

Seorang usahawan berusia 45 tahun yang ditahan polis, dilaporkan berhubung siasatan ke atas skandal National Feedlot Corporation, dipercayai memiliki beberapa syarikat.

Antaranya, satu syarikat pengangkutan yang pada satu ketika pernah mempromosi perusahaan itu melalui iklan di saluran televisyen nasional.

Syarikat yang dikatakan mempunyai modal berbayar RM200,000 itu juga didakwa menyediakan perkhidmatan untuk bayaran bil dan juga cukai jalan melalui rangkaiannya di seluruh negeri.

NONEUsahawan yang didakwa bergelar 'Datuk' itu turut memiliki syarikat limosin yang menyediakan perkhidmatan di sekitar Kuala Lumpur.

Selain perkhidmatan pengangkutan biasa, profil syarikat berkenaan turut mendakwa menyediakan perkhidmatan limosin dilengkapi pengawal peribadi untuk pelanggan VVIP.

Profil itu juga mendakwa lelaki tersebut berpengalaman dalam menguruskan projek pemasaran berskala besar, antaranya bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menurut polis, suspek juga menjalankan perniagaan agensi pekerja asing.

Pengarah jabatan siasatan jenayah komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam dilaporkan sebagai berkata, lelaki itu ditahan ketika berada di jabatan itu pada hari Rabu berhubung cubaan untuk menyogok pegawai polis.

Syed Ismail juga berkata suspek pernah ditahan sebelum ini berhubung siasatan ke atas dua kes penipuan, masing-masing di Bercham dan juga di Cheras mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,

Syed Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan laporan media yang mengaitkan lelaki berkenaan dengan skandal NFC.

Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan yang kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.