Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menafikan tanggapan akan bertanding di peringkat DUN untuk dilantik menjadi menteri besar menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak jika Pakatan Rakyat mempertahankan negeri itu dalam pilihan raya itu akan datang.

NONE Sebaliknya, beliau mengesahkan bahawa dirinya akan bertanding mempertahankan kerusi parlimennya, Pokok Sena, dalam pilihan raya umum akan datang.

"Confirm satu kerusi. Pokok Sena. Insya-Allah, (saya pertahan kerusi) Pokok Sena kalau diizinkan oleh PAS Pusat untuk bertanding di situ.

"Saya nak bertanding parlimen, macam mana saya nak jadi MB (menteri besar)," katanya berseloroh.

Mahfuz mengulas desas-desus kononya beliau akan bertanding kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang bagi menggantikan Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri.

Azizan kini berdepan dengan 'kemelut' dalam pentadbirannya susulan dua exco kanan - Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh  - enggan mengangkat sumpah bagi menyambung semula tugas sebagai exco.

Bercakap pada wawancara dengan Malaysiakini , Mahfuz berkata beliau tidak ada niat untuk bertanding kerusi DUN walaupun ada cadangan di kawasannya supaya beliau berbuat demikian.

"Kawan-kawan saya minta bertanding DUN tapi saya tolak... Saya tidak bersedia untuk bertanding DUN. Buat apa jadi MB, baik jadi PM. MB duduk bawah PM," katanya sambil ketawa besar.

NONE Mengenai hubungannya dengan Azizan yang menurut beberapa pemerhati politik agak dingin, khususnya sejak kebelakangan ini, Mahfuz mengakui tidak semua perkar, beliau bersependapat dengan menteri besar berusia 72 tahun itu.

Namun, katanya, segala yang tidak dipersetujuinya diluahkan sama ada dalam atau luar mesyuarat.

"Itu pendirian dan sikap saya," katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak ada masalah dengan Azizan.

Ditanya sama ada PAS Kedah memerlukan menteri besar yang lebih muda di negeri itu, Mahfuz berkata soal faktor umur tidak timbul sebaliknya kemampuan dan keupayaan mentadbir sebuah kerajaan lebih penting.

"Kalau muda pun tapi gagal, tidak ada keupayaan, tidak ada kemahiran, tidak ada kepakaran dan kemampuan untuk tadbir sebuah negeri, jangan kata itu sahaja, waktu bertanding pun ia tidak wajar," katanya.

NONE Ditanya portfolio yang ingin dipegangnya jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, Mahfuz sekali lagi ketawa besar dan berseloroh:

" Eh, portfolio saya, perdana menteri. Sebab itu saya tak mahu jadi menteri besar".

"Yang penting bagi saya, menang dulu, kemudian parti akan tentukan siapa yang akan duduk dalam kabinet," katanya.

ADS