Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAM jawab Shabery: Kami perlu luluskan perlumbaan
Diterbitkan:  May 29, 2012 11:45 AM
Dikemaskini: 10:14 AM

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hari ini tampil dengan penjelasan kepada menteri belia dan sukan bahawa negara sudahpun mempunyai badan khusus untuk mengawal selia sukan perlumbaan bermotor seperti yang menyebabkan 17 orang cedera ketika sambutan Hari Belia, Sabtu lalu.

Ketua pengarah eksekutif MAM Datuk Razlan Razali berkata MAM merupakan salah satu daripada badan yang memikul tanggungjawab itu, selain Persatuan Automotif Malaysia, lapor theSun .

"Sebagai pihak berkuasa, kami perlu meluluskan acara tempatan untuk memastikan ia dijalankan dan diuruskan dengan baik, keselamatan adalah perhatian utama kami," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Drag race crash Kos untuk meluluskan perlumbaan itu termasuk perlindungan insurans yang meliputi pelumba, anggota pasukan lumba dan juga penonton, katanya.

Beliau mengulas kenyataan menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilaporkan mahu mengkaji penubuhan badan induk sukan berkenaan dengan alasan, tiada badan khusus bagi mengawal selia sukan itu dengan lebih berkesan.

"Kita ada beberapa badan dan persatuan yang melibatkan sukan permotoran tetapi adakah ia merangkumi perlumbaan seperti ini. Saya perlu mendapatkan lebih maklumat tentang perkara itu," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut kenyataan Ahmad Shabery, Razlan berkata perlumbaan pada Sabtu malam anjuran bersama kementerian tersebut juga tidak mendapat kelulusan MAM.

"Penganjur tidak mematuhi apa-apa peraturan keselamatan kami," kata Razlan yang mengulas tindakan penganjur yang hanya menggunakan pokok bunga untuk memisahkan penonton dan kawasan litar.

Sementara itu, penganjur kepada acara perlumbaan tersebut berkata mereka tidak dapat menyuraikan orang ramai yang memenuhi kawasan larangan di tepi litar terbabit.

Seorang pegawai perlumbaan tersebut, dari syarikat MUSC Motorsports berkata para penonton tidak sepatutnya berdiri di tepi jalan yang tidak dipagar dengan penghadang besi itu.

MUSC Motorsports telahpun bertindak menghalau individu yang berada di bahagian jalan tersebut, sejam sebelum acara dimulakan, katanya yang enggan dinamakan.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat menghalang kesemua individu berkenaan kerana jumlah yang ramai, katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat video kemalangan (8.04 min)

ADS