Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM bentang bajet 28 September
Diterbitkan:  May 29, 2012 4:01 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September.

Najib yang juga menteri kewangan berkata Belanjawan 2013 akan memberi tumpuan terhadap pertumbuhan seimbang dan berkualiti selain kebajikan rakyat.

NONE "Hari ini saya di sini untuk mendengar pandangan dan saranan anda terhadap isu-isu yang kita hadapi.

   

"Dalam perundingan Belanjawan, kita menerima 84 memorandum. Cadangan anda akan ditimbangkan sebagai input untuk Belanjawan 2013," kata Najib di Majlis Konsultasi Belanjawan 2013 yang dihadiri oleh semua pemegang kepentingan di Putrajaya hari ini.

     

Perdana Menteri yang mempengerusikan sesi itu, berkata tema Perundingan Belanjawan 2013 ialah Memacu Transformasi Ke Arah Negara Maju.

"Malaysia kini dalam tahun ketiga perjalanan ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

   

"Banyak yang sudah kita capai dalam tempoh yang singkat ini. Bagaimanapun, masih banyak yang mesti dilakukan," katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan perlu menyediakan peluang saksama untuk pendidikan dan pekerjaan selain memastikan kualiti hidup rakyat yang lebih tinggi.

   

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing untuk bersaing dalam pasaran global.

   

Perdana menteri juga memberi jaminan bahawa penyepaduan fiskal berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015.     

"Saya menyedari mengenai kebimbangan terhadap pengurusan fiskal kita. Kami terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam.

   

"Mengekalkan momentum pertumbuhan ketika wujud cabaran luar merupakan keutamaan, namun ia akan dilakukan dengan penuh tanggungjawab," kata perdana menteri.

   

Najib berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan dalam regim perbelanjaan selain usaha untuk meningkatkan kutipan perolehan.

   

Beliau berkata pengurusan nilai telah dilaksanakan untuk projek-projek pembangunan melebihi RM50 juta manakala belanjawan pusingan dua tahun, yang diperkenal tahun lepas, menyediakan pengurusan perbelanjaan anjal.

   

"Selain itu Kajian Perbelanjaan Awam dilaksanakan dengan bantuan Bank Dunia dan kerajaan bertindak atas cadangan. Kita juga sudah membentuk jawatankuasa di Perbendaharaan untuk mengkaji isu-isu fiskal berkekalan jangka panjang," katanya.

- Bernama

 

ADS