Isu membabitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan gerakan New Age Movement (NAM) bukan soal membuktikan dia mengajar ajaran sesat, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata persoalan yang timbul ialah sokongan dan pandangan Marhamah terhadap New Age yang dilihat bercanggah dengan fatwa yang telah mengharamkan gerakan berkenaan.

"Dia tak perlu kita jadi tok guru ajaran sesat baru letak jawatan. Kita terlibat pun, menyokong dan memberi pandangan yang positif kepada New Age ini..pandangan yang telah disepakati, bila ada fatwa tak boleh, fatwa mengharamkannya, bila kita buat pandangan yang dilihat menyokong, itu dah bercanggah dengan fatwa.

"Bukan soal dia mengajar ajaran sesat.

“Bagi kita ialah sejauh mana kenyataan-kenyataan itu dilihat bercanggah. Dan ini dibuktikan sebab beliau dipanggil oleh Jakim. Jakim menasihati dia. Kalau dia tak terlibat kenapa Jakim siasat,” katanya.

Pemimpin PAS itu ditemui pada sidang media selepas menghadiri Konvokesyen Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) dan Kuliyyah 'Ulum Islamiyyah Zulkifli Muhammad di Batu Caves, hari ini.

Terdahulu, Marhamah dilaporkan berkata dia bersedia meletakkan jawatan sekiranya mahkamah membuktikan dirinya bersalah menyesatkan orang ramai.

“Saya akan letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang dan betul-betul ada orang yang saya sesatkan.

“Buktikan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2026 pada Khamis.

Isnin lalu, PAS Sabah menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya pihak berkuasa agama mengesahkan dia terbabit atau menyokong fahaman NAM.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata penelitian menyeluruh berasaskan bukti sahih dan disiplin ilmu perlu dilakukan pihak berkuasa agama bagi menentukan kedudukan sebenar isu berkenaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkan dia dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.

Marhamah sebelum ini berkata dia tidak boleh mengulas sebarang kenyataan yang telah dikeluarkan Jakim.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata isu itu perlu diberi perhatian kerana Marhamah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama yang, menurutnya, mempunyai tanggungjawab untuk menjadi contoh dalam perkara berkaitan agama.

Katanya, jika terdapat kekeliruan atau kesilapan, langkah yang wajar ialah mengakui dan membetulkan kenyataan berkenaan.

“Saya fikir yang paling baik, bukan mencabar, tapi mengakui dan minta maaf, tarik balik dan membetulkan. Bagi saya itu dah cukup,” katanya.

PAS nafi abaikan keluarga Hasmah

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menjelaskan ketidakhadiran sebahagian pimpinan kanan PAS ketika memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada 28 September lalu.

Dia menegaskan ketidakhadiran itu bukan kerana PAS sengaja tidak mahu menziarahi keluarga bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim berkata sebahagian besar pimpinan parti mempunyai program yang telah ditetapkan, manakala pemergian Hasmah pada waktu pagi dan urusan pengebumian pada hari sama menyebabkan tidak semua pimpinan sempat hadir.

“Saya sendiri terlibat dengan Tuanku di Kelantan, Menteri Besar bersama, Datuk Menteri (Besar) bersama. Ada seorang pimpinan kita yang berada di luar negara.

“Oleh itu, ketidakhadiran itu kerana memang ada program yang tak boleh dielakkan,” katanya.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata PAS tetap menghantar wakil untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah, termasuk Ketua Dewan Muslimat PAS dan pimpinan lain.

Katanya, pimpinan PAS turut hadir dalam program berkaitan, termasuk majlis tahlil yang diadakan di rumah keluarga Allahyarhamah.

“Bagi saya sebenarnya perkara ini macam contohlah kematian ayah sendiri. Kadang-kadang anak tak ada apa pun sebab benda itu mengejut.

“Kita tak boleh tunggu lama sebab jenazah bila meninggal, kena urus segera. Siapa sempat, sempatlah. Siapa tak sempat, tak sempatlah,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS turut menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.

“Yang penting, kita doakan bersama. Almarhumah ini dirahmat, ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari turut menafikan parti itu mengabaikan keluarga Mahathir dan berkata Ketua Dewan Muslimat PAS bersama rombongan telah hadir menziarahi keluarga berkenaan.

Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.20 pagi 28 September pada usia 100 tahun sebelum disemadikan di Pusara Negara pada petang hari sama.