Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA Timbalan presiden PKR Azmin berkata beliau tidak akan berganjak dari sokongannya kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim walau keluarganya sendiri "hancur" dan diaibkan.

Katanya beliau terpaksa berdepan perkara itu kerana tidak menyokong Umno dan konsisten dengan Pakatan Rakyat.

"Kalau ini harga yang perlu saya bayar untuk bawa perubahan, saya sanggup membayar, biar saya dihina diaib tapi rakyat dan negara mesti diselamatkan," katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini .

Beliau juga sanggup mengharungi perkara itu demi mempertahankan Anwar, sedangkan beliau juga boleh menyokong Mahathir pada 2 September 1998 - ketika Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

"Saya kena pilih antara Dr Mahathir atau Anwar. Bukan pilihan mudah. Dua tokoh utama negara yang perlu saya pilihan maka saya pilih pertahan kebenaran.

"Walaupun saya lalui kesengsaraan, masuk lokap keluar lokap, saya didakwa, dihina, keluarga saya hancur kerana pilihan yang saya buat.

"Tapi bagi saya itu pilihan yang perlu saya buat untuk pertahan kebenaran," katanya.

'Isu keluarga jangan dipolitikkan'

Azmin berkata, beliau langsung tidak terkesan dengan dakwaan berkenaan yang antara lainnya mempertikaikan hubungan darah beliau dengan anaknya.

"Lihatlah apa yang mereka lakukan kepada isteri dan anak saya. Selepas 14 tahun masih ulang fitnah sama, sehingga hari ini.

"Apa yang anda mahu saya lakukan? Saya sudah buat bahagian saya. Saya sudah dapatkan keputusan dua ujian DNA.

"Adakah mereka berminat dengan kebenaran? Tidak. Mereka hanya berminat untuk mengulangi fitnah dan penipuan untuk memburukkan imej pemimpin Pakatan," katanya lagi.

Perkara itu juga yang mendorong anak perempuannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang, setelah melalui dakwaan berkenaan sejak 14 tahun lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Umi Hafilda, adiknya yang kini giat mengadakan ceramah anti-Anwar, Azmin berkata beliau tidak mahu terlibat dalam kancah pertikaian dengan Ummi di media.

"Kalau dia pilih (ulas di media) tak apa lah, saya tak mahu terlibat. Saya yakin institusi keluarga ini wajar disejahterakan, diharmonikan, bukan diaibkan dalam media. Saya cukup tak bersetuju hal ini.

"Apa sahaja masalah keluarga, jangan dipolitikkan dan diaibkan dalam media," katanya.

ADS