Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu MyKad anak yatim: NGO ancam 'perang' dengan JKM

Sebuah NGO kebajikan, Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) mengancam untuk "berperang" dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya tiada tindakan diambil dalam isu anak yatim bekas jagaan jabatan itu yang sehingga kini masih tidak mempunyai MyKad.

Presiden Perbak, Muhammad Khairul Hafiz Abdullah berkata JKM diberi masa sebulan untuk menyelesaikan isu melibatkan anak-anak yatim berusia 18 hingga 32 tahun yang pernah menghuni pusat jagaan jabatan tersebut.

NONE Beliau semalam tampil menyerahkan senarai 20 nama berkenaan kepada JKM di pejabat jabatan tersebut di Putrajaya.

"Kita beri masa sebulan untuk JKM selesaikan 20 senarai nama daripada 1,758 yang ada di bawah Perbak," katanya kepada pemberita selepas bertemu timbalan ketua pengarah operasi JKM, Noraini Mohd Hashim semalam.

Individu berkenaan hanya memegang status pemastautin tetap dan tidak mempunyai taraf kerakyatan sah.

Katanya, Noraini dalam pertemuan tersebut menyatakan bahawa isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh sebulan, namun Muhammad Khairul tidak mudah berpuas hati dengan jaminan itu.

"Kita akan buat susulan dalam masa dua minggu. Dalam masa dua minggu, JKM perlu selesaikan sekurang-kurangnya 10 nama.

"Jika tidak, kita akan isytihar perang," katanya yang memberi amaran untuk membongkar beberapa isu yang didakwa melibatkan JKM, sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil dalam tempoh tersebut.

Tambahnya, Perbak juga akan mengadakan demonstrasi dan menghantar memorandum kepada perdana menteri, yang kini memangku jawatan menteri pembangunan wanita dan keluarga, sekiranya perkara itu masih belum membuahkan hasil.

"Kita tak akan berdiam diri. Perkara ini sudah lama. Saya juga ingin meminta jika ada mana-mana pihak yang mahu hulurkan bantuan tidak kira mana-mana parti bantulah. Kita perlukan bantuan segera," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi bahagian perhubungan korporat JKM untuk komen tetapi masih belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan buat masa ini.

ADS