Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada rakyat, tiadalah raja, titah Sultan Johor

Sultan Iskandar menitiskan air mata di hadapan kira-kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama yang berhimpun secara aman di perkarangan Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada baginda.

    

Suasana di perkarangan istana semalam yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda yang berangkat hadir pada 'Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor' itu tiba-tiba menjadi sebak ketika bertitah ringkas kepada hadirin.

    

NONE "Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," titah baginda sambil mengesat air mata, diiringi gema laungan 'Daulat Tuanku' oleh rakyat yang menghadiri perhimpunan anjuran Majlis Penyelaras Gabungan NGO (badan bukan kerajaan) Melayu Negeri Johor (Gabung) itu.

Mereka membawa pelbagai sepanduk dan mula berhimpun sejak 10 pagi di Sangkar Kristal, Taman Pelangi sebelum berarak sejauh satu kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor, pada 2 petang.

    

Sultan Ibrahim, yang berterima kasih kepada mereka yang hadir, bertitah adalah menjadi amanah baginda sebagai Sultan Johor untuk menyayangi rakyat.

"Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," titah baginda sambil mengingatkan seluruh rakyat negeri Johor, tanpa mengira kaum dan agama, supaya terus bersatu padu.

    

"Jika bersatu, kita akan kuat," titah baginda yang ditemani isteri, Raja Zarith Sofia dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris serta kerabat diraja Johor lain.

    

azlan Perhimpunan itu berlangsung sebagai reaksi terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung, Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.

    

Sementara itu, Bendahari Agung Gabung, Zaini Atan berkata mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.

"Kami hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," kata Zaini.

Beliau berkata 312 NGO Melayu Johor, 62 NGO kaum Cina dan 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.

    

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, antara yang hadir pada perhimpunan itu, berkata beliau amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.

"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh  institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya.

    

Di KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia melahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran perhimpunan di Johor Baharu itu.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata pihaknya tidak akan sekali-kali bersetuju dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu.

    

"Persatuan ini akan menentang mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan kedudukan raja-raja Melayu dan sekali gus cuba memecahkan perpaduan orang Melayu dengan cara tidak  bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama

ADS