Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Melihat kepada keadaan semasa yang kurang 'menyenangkan khayalak ramai' ekoran beberapa kenyataan berhubung isu Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin yang mempertikai kepimpinan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengarah jawatankuasa pilihan raya pusat (JPRP), saya berasa bertanggungjawap untuk menyatakan ketegasan parti.

Semua kepimpinan dalam organisasi negeri, baik dari kedudukan menteri besar, anggota exco apatah lagi setiausaha politik hendaklah menghormati pendirian mahupun keputusan kepimpinan tertinggi parti.

NONE Tiap perbezaan pendapat perlu diselesaikan dalam semangat organisasi parti yang dipimpin Majlis Pimpinan Pusat.

PKR Selangor memandang serius jikalau benar adanya dakwaan terdapat individu tertentu mempertikai kepimpinan tertinggi parti secara terbuka dan tidak akan sekali kali berkompromi kerana dengan jelas ia melanggar etika parti.

Dalam keadaan saya menghormati kuasa prerogatif menteri besar untuk melantik setiausaha politik, pandangan dan keputusan pimpinan parti jangan sekali kali dipinggirkan kerana kerajaan negeri tertubuh atas penat lelah, jasa dan keringat akar umbi PKR yang berjuang bersama sama rakyat lain untuk kemenangan rakyat.

Kenyataan Twitter saya yang memohon supaya pihak tertentu yang mengecam Kerajaan negeri Selangor - melalui tag #kamisayangpkr - agar berhenti.

Tak matang

Ia langkah yang difikir perlu supaya isu ini dapat ditangani dengan berhemah dan tertutup sambil tidak membuka ruang kepada kejadian 'malang' yang berlaku di Kedah.

Kritikan membina dan pandangan kritis hendaklah dilahirkan dalam bilik mesyuarat dan diselesaikan mengikut saluran yang betul.

NONE Perbuatan 'menyerang' kepimpinan secara terbuka adalah satu tindakan amat tidak matang, tidak bijak dan penuh emosi.

Saya nyatakan bahawa saya sedia mengatur pertemuan semuka untuk mengenalpasti apakah masalah dan saranan akar umbi PKR bagi memperbaiki lagi perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang mungkin tidak sesempurna pada pandangan mata kepimpinan parti.

Jika ada kekurangan dan perlukan pembaikan, hatta sehinga perlu melantik pegawai lain bagi membantu tugasan menteri besar, maka kerajaan negeri yang tertubuh atas lingkaran parti, mestilah akur dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera.

Jika benar ada satu dua pegawai parti yang jelas mengkhianati mandat dan tidak menghayati kehalusan perjuangan parti, tindakan keras wajar diambil bagi memelihara keutuhan parti.

Masa ketua umum melihat

Saya mengharap rakan-rakan perjuangan dalam PKR dan Pakatan Rakyat umumnya berjiwa besar dalam mendepani percubaan Umno yang senantiasa mengambil peluang dengan 'sedikit perbezaan pendapat' yang mungkin wujud di kalangan kita.

NONE Setakat hari ini, visi ke Putrajaya dipandu dengan cukup baik oleh Pengarah JPRP Azmin dan acuan keikhlasan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam mentadbir negeri wajar digabungkan menjadi satu 'gerombolan meriam' ampuh untuk mara ke Putrajaya.

 

Namun jika dalam perjalanan ini, ada satu dua meriam yang dirasakan sudah uzur oleh kepimpinan, rosak dan hilang kekuatan semangat kebersamaan, elok sahaja digantikan dengan meriam baru supaya matlamat menakluki Putrajaya tidak tersadai di sempadan.

Tiba masanya untuk ketua umum melihat perkara ini.

Kepada semua pihak saya seru agar memberikan tumpuan bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila bila masa sahaja.

Ayuh, tekadkan semangat, bulatkan matlamat dan nampakkan muafakat dalam perjuangan kita untuk menumbangkan Umno BN!


SHUHAIMI SHAFIEI adalah ketua penerangan PKR Selangor dan ahli dewan undangan negeri Sri Muda. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS