Utusan kait 'wanita misteri' dengan Anwar

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan foto seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan dakwaan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai “akaun luar biasa RM3 bilion.”

Foto berkenaan, lapor akhbar itu, pada awalnya terbit di satu blog novandri.blogspot.com, selepas seorang anggota Umno, Ummi Hafilda mendakwa telah menyerahkan bukti kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ummi Hafilda mendakwa, Anwar kenal sangat dengan wanita tersebut yang bukanlah seorang istimewa atau ahli korporat tetapi cukai pendapatannya mencecah RM50 juta," laporan itu dipetik.

Ummi Hafilda seterusnya dilaporkan dalam edisi hujung minggu Utusan Malaysia itu sebagai berkata, wanita yang tidak dinamakan itu turut memiliki atau dikaitkan dengan 62 kondominium dan banglo mewah, kebanyakannya terletak di Pulau Pinang.

Akhbar New Straits Times pada Jumaat lalu melaporkan bahawa Ummi telah bertemu dengan pegawai SPRM dan menyerahkan bukti berkenaan, termasuk senarai hartanah dan foto wanita tersebut.

Dakwaan berkenaan timbul ketika era reformasi memuncak pada 1998, apabila bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa Anwar memiliki 20 akaun utama mengandungi RM3 bilion dalam bentuk aset, saham dan wang tunai ketika menjadi timbalan perdana menteri.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.