Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Jadikan Anwar 'PM kehormat' 5 hari
Diterbitkan:  Jul 6, 2012 3:53 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

NONE "Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Czech Vaclav Klaus di ibunegara hari ini.

Dr Mahathir ( kanan ) berkata kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Anwar masih terus dengan impiannya untuk menjadi perdana menteri.

Beliau diminta mengulas mengenai satu wawancara Anwar yang disiarkan akhbar Financial Times Selasa lalu membayangkan akan berundur daripada politik negara jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU-13 dan akan kembali mengajar.

Bekas perdana menteri dengan nada bergurau mencadangkan supaya diwujudkan jawatan perdana menteri 'terhormat' selama lima hari untuk diisi oleh Anwar bagi memenuhi impian beliau sebelum bersara.

"Kita buat dua jawatan perdana menteri, bagi dekat dia satu 'Honour Prime Minister' selama lima hari, lepas itu dia boleh bersara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan penyelewengan bernilai RM1 bilion oleh kerajaan negeri Selangor dalam urusan penyelesaian hutang sebuah syarikat senaraian awam, Dr Mahathir berkata rakyat Selangor harus bangkit dan sedar dengan penyelewengan kerajaan Selangor.

Katanya, kerajaan Selangor tidak sepatutnya menyalahguna kuasa dan mengguna duit rakyat bagi memenuhi kepentingan tertentu.

Justeru, katanya, rakyat Selangor perlu memberi semula kepercayaan kepada kerajaan BN yang sebelum ini telah memerintah Selangor selama 50 tahun untuk kembali memajukan Selangor.

- Bernama

ADS