Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin hari ini mendakwa portal Malaysiakini memutarbelit satu kenyataan MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sehingga menunjukkan BN seolah-olah mempengaruhi pilihan raya.

Raja Nong Chik (foto kanan) merujuk laporan yang memetik kenyataan Nurul Izzah berhubung ramalan seorang bekas pegawai pilihan raya mengenai peluang MP itu untuk memenangi pilihan raya akan datang.

NONE Dalam ucapannya hari ini, Senator BN itu mengulas mengenai pegawai pilihan raya yang dibangkitkan Nurul Izzah kelmarin.

"Saya diberitahu ada wakil Malaysiakini di sini. Saya terkejut baca Malaysiakini semalam, seorang RO (pegawai pilihan raya) di Lembah Pantai dikatakan memberi kata-kata yang tidak memberangsangkan kepada beliau (Nurul Izzah) sebagai ahli parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupnya di forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, beliau sebelum ini tidak mengetahui pegawai pilihan raya yang tidak dinamakan Nurul Izzah itu kerana beliau hanya pemimpin di peringkat cawangan Umno pada 2008.

"Saya pun tanyalah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) siapa RO (pegawai pilihan raya) itu. Barulah saya tahu bahawa dia seorang yang baru dilantik timbalan ketua pengarah.

Katanya, pegawai pilihan raya itu mungkin memberitahu Nurul Izzah secara ikhlas bahawa MP itu mungkin sukar untuk mengekalkan kawasan Lembah Pantai.

NONE "Tapi bila di-spin (diputar) di alam maya seolah-olah ayat dia menunjukkan kerajaan BN cuba mempengaruhi jentera pilihan raya yang saya pun tak tahu (sama ada) dia (RO berkenaan) terlibat.

"Sekarang ini mungkin dia tak terlibat (dengan SPR) saya pun tak tahu," kata Raja Nong Chik dalam ucapan penutup konvensyen berkenaan hari ini.

Sejurus selepas ucapan itu, pengarah sekretariat konvensyen, Mohammad Rafi Awang Kechik naik ke pentas dan menghalang wartawan Malaysiakini daripada terus membuat liputan.

"Mana wartawan Malaysiakini di sini? Biadap tak tahu malu orang dah bagi masuk dan bagi makan..keluar dari sini," katanya dengan keras dan lantang.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan penyiaran laporan  Malaysiakini yang melaporkan ucapan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Mohd Zaini Hassan pada sebelah pagi konvensyen itu.

Malaysiakini dalam laporan itu memetik saranan Zaini (foto kiri) supaya pengamal media sosial memutar fakta dalam tulisan mereka.

ADS