Lisa tak tahu penerbit kempen misteri p'raya

Pelakon Lisa Surihani mendakwa beliau tidak tahu siapa penerbit kempen misteri 'Saya Pilih Malaysia' yang mula kelihatan dalam akhbar arus perdana dan saluran TV nasional bulan lepas.

Menurut Lisa, iklan kempen itu ditawarkan kepadanya menerusi agensi dan beliau menerimanya kerana mesej berkenaan hak mengundi daripada sudut demokrasi yang disampaikan iklan tersebut.

NONE"Secara jujurnya, saya tidak tahu (siapa penerbitnya). Itu diuruskan pihak agensi.

"Bagi saya, saya OK kalau kita kongsi dengan rakyat yang kita punyai hak demokratik dan mengamalkannya.

"Itu sebab saya lakukan (terima iklan itu)," kata Lisa sewaktu ditanya tentang penglibatannya dalam iklan itu.

Pertengahan Julai lalu, iklan setengah muka dan iklan penuh warna 'Saya Pilih Malaysia' menghiasi akhbar arus perdana dan ditayangkan pada waktu perdana di semua saluran TV utama.

Bagaimanapun, iklan itu tidak jelas menyatakan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

'Nafi ahli Umno'

Mengulas penggunaan perkataan 'keamanan', 'kemajuan', 'kestabilan' dan 'perpaduan' dalam iklan itu yang dilihat senada dengan kempen BN, Lisa menegaskan peranannya hanya menggalakkan penonton keluar mengundi dan bukan siapa yang perlu diundi.

"Bahagian saya, sayNONEa beritahu mereka (penonton) yang mereka ada kuasa untuk bersuara. Anda ada hak itu, dan gunakannya.

"Tetapi, saya tak akan beritahu secara langsung siapa yang anda perlu undi.

"Kerana saya sendiri pun tak beritahu siapa yang saya undi," katanya sewaktu ditemui selepas majlis Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bersama menteri di Kuala Lumpur malam tadi.

Lisa yang sebelum ini menerima Anugerah Pencapaian Khas Puteri Umno pada hujung tahun lalu juga menafikan tanggapan orang ramai yang beliau merupakan ahli Umno.

Malah, beliau juga tidak bercadang untuk berkempen bagi Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

"Maaf, saya tidak mampu menggabungkan kedua-duanya (politik dan hiburan). Sesetengah orang boleh terlibat dalam dua sektor (politik dan hiburan) tapi bukan saya," kata Lisa.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak melihat dirinya akan menceburi politik dalam masa terdekat.

"Secara jujurnya tidak (akan menceburi politik). Saya berani cakap saya kurang pengetahuan (mengenainya).

"Apa-apa yang ada kecenderungan politik, tidak buat masa ini," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.